Berita

SMK Lajau muncul juara pertandingan memasak

HASBOLLAH (lima dari kiri) bergambar kenangan bersama para pemenang Pertandingan Memasak Sekolah Menengah Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2019 baru-baru ini.
- Diterbit 29 Ogos 2019 5:32 PM MYT

LABUAN – Para pelajar perlu diterapkan dengan kemahiran baharu termasuk dalam bidang kulinari bagi membolehkan mereka mampu menghadapi cabaran abad ke-21 selari dengan matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Menurut Pengarah Pendidikan Labuan, Raisin Saidin, pertandingan memasak yang diadakan setiap tahun di peringkat sekolah-sekolah mampu mencungkil bakat baharu dalam kalangan generasi muda yang berbakat di dalam bidang kulinari.

“Pada masa ini, mempunyai kemahiran memasak memberi keuntungan yang lumayan kepada individu. Maka sebaiknya bermula usia remaja, kemahiran memasak perlulah didedahkan kepada mereka dengan menggunakan kreativiti sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis perasmian Penutupan Pertandingan Memasak Sekolah Menengah Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2019 anjuran Nestle Products Sdn. Bhd. dengan kerjasama Jabatan Pendidikan di sini baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pendidikan Labuan, Asbola@Hasbollah Amit.

Hadir sama Pengurus Perancangan MAGGI, Shahmeez Dina Rizal; Ketua Unit Pusat Kokurikulum, Jabatan Pendidikan Labuan, Samsul Mandisin; Ketua Unit Kokurikulum Jabatan Pendidikan Labuan, Jaafar Matusin dan Pengurus Acara Nestle, Tan Wallace Welliam.

Raisin berkata, berdasarkan rekod sebelum ini, pencapaian wakil Labuan pada pertandingan memasak di peringkat kebangsaan amat membanggakan.

“Pada tahun 2017, Labuan yang diwakili Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pantai IBWS telah dinobatkan sebagai johan pertandingan yang diadakan di Kelantan sekali gus dapat mewakili Malaysia ke Program Kulinari Peringkat Antarabangsa di Bandung, Indonesia.

Terdahulu pada pertandingan itu, SMK Lajau yang diwakili Nureen Azmira Mohd Azhar, Masliha Junaidi dan Nordiana Abdul Karim selaku guru pengiring berjaya menjadi johan diikuti SMK Rancha-Rancha ditempat kedua manakala SMK Labuan ditempat ketiga.

Hasil kemenangan itu membolehkan SMK lajau mewakili Labuan ke pertandingan memasak peringkat kebangsaan pada 21 hingga 23 Oktober depan di Perak.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas