Berita

Pertemuan Amirudin, Khalid bincang isu persempadanan

KHALID-AMIRUDIN
KHALID (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Amirudin selepas menerima kunjungan hormat Kementerian Wilayah Persekutuan hari ini.
- Diterbit 27 Ogos 2019 6:10 AM MYT

SHAH ALAM – Datuk Menteri Besar, Amirudin Shari menerima kunjungan hormat Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad di pejabat beliau, di Bangunan Sultan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini hari ini.

Pemimpin tertinggi Kerajaan Negeri itu menyambut ketibaan Khalid yang tiba kira-kira pukul 8.50 pagi bersama delegasi Kementerian Wilayah Persekutuan sebelum mempengerusikan perbincangan isu membabitkan Selangor dan Wilayah Persekutuan, di Bilik Gerakan Negeri.

Menurut Amirudin, perbincangan memberi fokus terhadap penyelesaian tanah di Mukim Ulu Semenyih, Daerah Hulu Langat dan status tanah di Kampong Bharu, Kuala Lumpur yang tertangguh sejak sekian lama.

Katanya, penyelesaian isu pengukuran sempadan antara Selangor dan Wilayah persekutuan turut diketengahkan dalam perbincangan selama hampir dua jam itu.

“Kita menyelesaikan banyak perkara antaranya isu tertangguh sejak 21 tahun lalu yang kali terakhir secara dokumentasinya pada 1999, namun selepas itu tiada penyelesaian tuntas dan menyeluruh berhubung isu berkenaan.

“Malah, kita juga bersepakat untuk mengadakan mesyuarat seperti ini secara lebih kerap iaitu tiga atau empat bulan sekali bagi merungkai dan meneliti beberapa isu yang memberi kesan langsung serta tidak langsung terhadap kedua-dua pihak,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin berkata, Selangor dan Wilayah Persekutuan banyak berkongsi kepentingan antara satu sama lain, khususnya daripada aspek pentadbiran serta pengurusan.

“Justeru, kita berharap supaya masalah ini dapat diselesaikan yang akhirnya akan membabitkan isu kesejahteraan dan berkaitan kehidupan masyarakat di kedua-dua negeri,” katanya.

Kunjungan kali pertama itu turut disertai Setiausaha Sulit Kanan Menteri Wilayah Persekutuan, Zulkefli Mohd. Nani; Setiausaha Sulit Menteri Wilayah Persekutuan, Firdaus Mokhtar; Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Saripuddin Kasim dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Siti Fatimah Daud.

Hadir sama, Pengarah-Pengarah Jabatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya, Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP) serta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas