Berita

Rakyat perlu berada dalam pasukan sama untuk bina negara bangsa

KREDIT foto: Facebook AKM.
- Diterbit 23 April 2024 10:30 PM MYT

RAKYAT perlu bersatu dan berada dalam satu pasukan yang sama bagi pembinaan negara bangsa, menurut Pengarah Bahagian Keselamatan Strategik Pejabat Perdana Menteri Khairil Hilmi Mokhtar.

Beliau berkata masyarakat tidak seharusnya memperlekeh atau menyindir usaha-usaha dilakukan kementerian dan agensi kerajaan untuk kepentingan rakyat dan negara.

“Contohnya apabila kita berdepan dengan keadaan risiko gangguan bekalan makanan, kita lihat bagaimana kementerian berkenaan bersama petani dapat menghasilkan pengeluaran padi yang lebih tinggi menerusi dasar-dasar yang disediakan.

“Tetapi apabila dilihat di media sosial, ada sahaja kecenderungan yang menyindir usaha ini, yang menghina usaha dari rakyat sendiri sebab yang membuat kajian itu mereka dari jabatan kerajaan yang juga rakyat Malaysia, yang menanam padi pun petani rakyat Malaysia, kenapa perlu disindir sedangkan kita dari pasukan yang sama?” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Cakna Kenegaraan yang disiarkan menerusi Facebook Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) hari ini.

Program Cakna Kenegaraan inisiatif AKM itu bertujuan memberikan pengetahuan kepada masyarakat mengenai pemahaman Malaysia MADANI, seterusnya memberi nilai patriotik, jati diri dan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Khairil Hilmi turut mengingatkan rakyat supaya meneliti setiap kandungan di media sosial sebelum menerima sesuatu maklumat yang berkemungkinan mempunyai agenda tertentu untuk menimbulkan persepsi  dan salah faham sehingga mewujudkan situasi tidak harmoni dalam negara.

Dalam pada itu beliau berkata dasar dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Malaysia MADANI adalah untuk memastikan tahap integriti yang lebih kukuh agar ketirisan dapat dikurangkan dan pada masa sama memperbetulkan setiap kegelinciran yang berlaku.

“Perkara-perkara negatif yang dinormalisasikan harus diletakkan kembali ke landasan yang betul…itu sudah pasti memakan masa, mendapat halangan daripada orang yang selesa yang sudah seronok dengan melakukan kesilapan.

“Tetapi sekiranya kita ingin betulkan negara ini, maka kita harus bersedia untuk muhasabah diri sebagai individu, meletakkan diri kita sebagai ahli dalam negara ini dan setiap apa yang silap diperbaiki dengan meletakkan tata kelola yang baik sebagai mantera kehidupan tidak kiralah dalam bekerja, belajar dan berkelakuan,” katanya.

Khairil Hilmi berkata sepanjang menjalankan tugas di Pejabat Perdana Menteri, beliau melihat Anwar sebagai pejuang yang membawa agenda menjadikan Malaysia ke arah lebih baik dengan manfaat dan kebaikan yang akhirnya diterima rakyat.

“Kerap kali saya melihat beliau (Anwar) bekerja dengan sangat keras, jujur, mengetepikan kepentingan peribadi malah kadang-kadang mengenepikan kesihatan dan waktu rehat beliau demi memastikan agenda pembinaan negara bangsa ini khususnya membentuk Malaysia yang lebih baik untuk kita semua warisi,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas