Utama

Dua sindiket dadah tumpas, lebih RM520,000 dadah dirampas

DADAH SENTUL
HEISHAM (dua kanan) menunjukkan paket dadah yang dirampas dalam serbuan baru-baru ini.
- Diterbit 27 Ogos 2019 5:54 AM MYT

KUALA LUMPUR – Dua sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak lima bulan lalu tumpas dalam tiga serbuan berasingan baru-baru ini.

Difahamkan, kedua-dua sindiket yang aktif di sekitar Sentul menjadikan kondominium mewah sebagai tempat membungkus dadah sebelum mengedarkannya di sekitar Lembah Klang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintenden Heisham Harun berkata, dalam serbuan pertama pada Jumaat lalu, empat lelaki ditahan di sebuah kondominium di Jalan Kasipillay dan siasatan mendapati dua daripada suspek memiliki rekod jenayah lampau berkait kes dadah.

“Dalam serbuan pada pukul 1 tengah hari itu, kita menahan empat lelaki berusia 27 hingga 33 tahun dan merampas sepucuk pistol tiruan bersama sehelai ves dengan lambang Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta wang tunai RM538.

“Turut dirampas, 53 paket dadah disyaki heroin, 360 biji disyaki pil ekstasi, pil yaba (220 biji), eramin 5 (10 biji), enam paket berisi serbuk MDMA dan satu paket ganja. Keseluruhan barang rampasan dianggarkan bernilai RM150,918, kesemua suspek direman selama lima hari sehingga esok,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Heisham, tangkapan seterusnya dibuat susulan dua serbuan yang dilakukan di hadapan sebuah pusat beli belah di Jalan Kepong dan di kondominium Jalan Kuching.

Jelas beliau, tangkapan dibuat menerusi operasi khas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Sentul pada pukul 7.30 malam, Sabtu lalu.

“Hasil pemeriksaan, lima lelaki ditahan di hadapan pusat beli belah dan kita turut merampas empat paket disyaki dadah jenis heroin dan 5,000 biji disyaki pil eramin 5.

“Suspek kemudian membawa pasukan ke sebuah kondominium dan dua lagi ahli sindiket ditahan. Kita juga merampas dua blok disyaki heroin base, dua paket disyaki dadah heroin, 73 paket disyaki ethamphetamine, 1,700 biji disyaki pil eramin 5 dan 161 biji pil disyaki ekstasi.

Heisham memberitahu, keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM372,330.

Tambahnya, kesemua tujuh suspek berusia 21 hingga 33 tahun direman selama lima hari sehingga Khamis ini dan kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas