Berita

Pertahankan perpaduan Labuan

ROZMAN menyermpurnakan gimik perasmian sambil disaksikan tetamu-tetamu jemputan.
- Diterbit 5 September 2019 9:18 AM MYT

Oleh Md Khairul Azad Yunus dan RTM Labuan

LABUAN – Rakyat Labuan diajak untuk terus mempertahankan perpaduan dengan semangat dan tenaga baharu.

Menurut Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli menerusi perpaduan, rakyat Labuan berpotensi menjadi contoh dalam pelbagai aspek seperti pembangunan material dan spiritual.

“Perpaduan yang utuh dan hubungan harmoni sekian lama diantara masyarakat berbilang kaum menyebabkan warga Labuan menikmati kemajuan yang membanggakan.

“Labuan adalah sebuah tempat yang telah dianugerahkan dengan keadaan yang cukup hebat dan perlu di syukuri. Oleh itu marilah kita berganding bahu dalam satu pasukan untuk mencapai cita-cita tersebut,” katanya ketika berucap merasmikan Program Aspirasi Merdeka, anjuran Jabatan Penyiaran Labuan semasa sambutan Hari Kemerdekaan baru-baru ini.

Rozman turut mengajak semua pihak agar bersiap sedia dengan cabaran dalam mengisi kemerdekaan negara.

“Malaysia membangun dengan hebat dan perlu bersiap sedia menghadapi cabaran yang baharu kerana cara hidup yang berlainan memerlukan cara yang berlainan untuk mengisi kemerdekaan ini.

“Adalah penting bagi ge­nerasi baharu memahami sejarah dan proses pembinaan negara ini agar kita le­bih menghargai harga sebuah kemerdekaan,” katanya lagi.

Sementera itu, Timbalan Pengarah Penyiaran Labuan, Fauziah Mohd Sidek berkata, Program Aspirasi Merdeka merupakan persediaan untuk menyemai semangat cintakan negara dan rasa tanggungjawab kepada pembangunan negara dari segi fizikal dan mental.

“Aktiviti-aktiviti yang dianjurkan dalam bentuk candawara dan penuh keceriaan ini merupakan suntikan dan galakan kepada kita untuk menghormati sejarah serta erti sambutan Hari Kebangsaan dalam gaya yang tidak formal dan bersahaja.

“Antara pengisian aktiviti hari ini, 10,000 Langkah Sema­rak Merdeka dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Labuan, Xplorasi Merdeka dengan kerjasama Persatuan Pencinta Sejarah & Khazanah (PESADA), Pertandingan Mewarna yang disertai pelajar-pelajar Tadika KEMAS,Pertandingan Fesyen Kreatif Merdeka, Kuiz Merdeka dan Visit Malaysia 2020 kerjasama Jabatan Muzium, MOTAC dan Lembaga Penggalakan Pelancongan Labuan,”katanya.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Labuan, Simsudin Sidek.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas