Artikel

Bomba komuniti hindari bahaya kebakaran

ROZMAN (tiga dari kiri) menyampaikan sijil kepada salah seorang ketua kampung sambil diperhatikan Zainal (dua dari kiri), Dr. Fary (dua dari kanan) dan Simsudin (kiri).
- Diterbit 5 September 2019 9:20 AM MYT

LABUAN – Penubuhan Pasukan Bomba Komuniti merupakan langkah proaktif Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dalam memastikan masyarakat seluruh negara dapat dihindarkan daripada risiko kebakaran terutamanya di rumah-rumah kediaman.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli berkata, tujuan utama Penubuhan Pasukan Bomba Komuniti ini ialah supaya masyarakat di sesebuah kampung dapat didedahkan dengan tatacara membuat panggilan kecemasan, menyampaikan maklumat yang tepat semasa me­laporkan kes kecemasan, peranan sebelum, semasa dan selepas ope­rasi pemadaman dan penyelamatan berakhir, perkara asas melawan kebakaran dan cara-cara pencegahan kebakaran di rumah atau kediaman.

“Pihak JBPM akan mendedahkan Pasukan Bomba Komuniti berkaitan pencegahan kebakaran terlebih dahulu sebelum mereka menyebarkkannya kepada seluruh penduduk kampung masing-masing.

“Saya percaya kaedah penyampai­an seperti ini adalah amat efektif dan perlu diteruskan sehingga kesedaran masyarakat khususnya di Labuan di tahap yang memuaskan,” katanya ketika berucap merasmikan Pelancaran Pasukan Bomba Komuniti dan Skuad Bomba Tahfiz Peringkat Labuan baru-baru ini.

Tambahnya, pelancaran Skuad Bomba Tahfiz di ketiga-tiga Sekolah Tahfiz atau Madrasah Labuan amat bertepatan memandangkan kes kebakaran melibatkan sekolah-sekolah pondok dan tahfiz di seluruh negara semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Beliau berharap dengan penubuhan pasukan itu, maka kesiapsiagaan serta pencegahan tentang bahaya kebakaran dapat dipraktikkan.

Sementara itu, Pengarah JBPM Labuan, Zainal Madasin berkata, pihaknya mengambil langkah drastik dengan menjadikan Majlis Perwakilan Penduduk di Labuan sebagai rakan strategik untuk menubuhkan Pasukan Bomba Komuniti setiap kampung.

“Melalui penubuhan ini, JBPM Labuan mampu menembusi sasaran dengan cara menyalurkan maklumat tentang pencegahan kebakaran kepada Pasukan Bomba Komuniti setiap kampung dan seterusnya komuniti ini akan menyebarkannya di kawasan masing-masing.

“Setakat hari ini JBPM Labuan telah menerima sebanyak 19 Penyertaan Pasukan Bomba Komuniti dari kampung-kampung sekitar Labuan,”katanya semasa menyampaikan ucapan aluan.
Majlis itu juga diserikan dengan program Fire Fighter Fun Ride sejauh 30 kilometer yang melibatkan 260 peserta termasuk 100 orang peserta dari Brunei.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr Fary Akmal Osman dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Labuan, Simsudin Sidek.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas