Berita

Persekolahan secara bersemuka Tabika Kemas ditangguh

- Diterbit 18 Januari 2021 11:53 AM MYT

SESI persekolahan Tabika Kemas secara bersemuka di seluruh negara yang sepatutnya bermula pada 20 Jan ini ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Menurut Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dalam satu kenyataan hari ini, pihaknya mengambil maklum trend peningkatan jangkitan COVID-19 dan memutuskan untuk mengikut langkah yang diambil oleh Kementerian Pendidikan (KPM) sebagai langkah pencegahan.

“Bagi memastikan tidak berlaku keciciran dalam kalangan kanak-kanak Tabika Kemas, kaedah pembelajaran secara Home-base Learning (pembelajaran di rumah) yang ditetapkan oleh jabatan akan digunakan melalui kaedah Pelaksanaan Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc),” katanya.

Sabtu lepas, KPM memaklumkan sesi persekolahan secara bersemuka bermula 20 Jan ini di seluruh negara hanya membabitkan calon yang akan menduduki peperiksaan utama bagi 2020.

Sementara itu, Kemas menjelaskan pihaknya memberi kebenaran bersyarat untuk Taska Kemas beroperasi sekiranya terdapat permohonan daripada ibu bapa yang bertugas sebagai barisan hadapan untuk menghantar anak-anak mereka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

PKP dikuatkuasakan di Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sejak 13 Jan sehingga 26 Jan ini.

PKP bermula 16 Jan hingga 29 Jan pula melibatkan Kelantan dan Sibu, Sarawak. – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas