Berita

PERMAI bantu kelangsungan perniagaan hotel bertaraf tiga bintang dan setara – MyBHA

|
- Diterbit 18 Januari 2021 12:04 PM MYT

PERSATUAN Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) menyifatkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) dapat menyokong kelangsungan perniagaan pengusaha hotel bertaraf tiga bintang ke bawah.

Timbalan Presiden MyBHA Dr Sri Ganesh Michiel berkata pihaknya menyambut baik usaha kerajaan dalam membantu golongan yang terjejas kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP).

“Persatuan Hotel Budget Malaysia (MyBHA) berterima kasih terhadap usaha kerajaan dalam memperkenalkan beberapa inisiatif ini bagi menyokong kelangsungan perniagaan kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara manfaat menerusi PERMAI yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini adalah pemberian diskaun khas bil elektrik sebanyak 10 peratus bagi tempoh Januari sehingga Mac, Program Subsidi Upah 3.0 di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Selain itu, pelanjutan tempoh kuat kuasa ketidakupayaan untuk melaksanakan obligasi kontraktual kepada 31 Mac melalui Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit COVID-19 atau Akta 829 dan sebagainya.

Dalam pada itu, beliau turut berpendapat kerajaan perlu mengkaji semula serta mengeluarkan pakej khas bantuan lebih bersasar bagi industri pelancongan dan perhotelan.

Antara cadangan dibangkitkan adalah Program Subsidi Upah dinaikkan kepada RM1,200 bagi satu tempoh yang munasabah, arahan tetap atau automatik bagi bantuan moratorium oleh pihak bank mahupun syarikat kredit dan insentif cukai dalam memastikan kelestarian industri terjejas. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas