Berita

MINDEF terima sumbangan berjumlah RM200,000 bagi Program Kembali ke Sekolah

- Diterbit 18 Januari 2021 11:33 AM MYT

KEMENTERIAN Pertahanan (Mindef) menerima sumbangan RM180,000 daripada Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) dan RM20,000 Zakat Wakalah daripada Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan bagi membantu persekolahan anak-anak warganya.

Mindef dalam kenyataan memaklumkan sumbangan itu diperuntuk bagi Program Kembali ke Sekolah anak-anak anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seluruh negara serta kakitangan awam Mindef.

“Sumbangan pihak Pharmaniaga itu akan memberi manfaat kepada lebih 1,500 anak-anak anggota ATM sementara Zakat Wakalah oleh PPZ akan diagih kepada 100 kakitangan awam warganya bagi pembelian barangan persekolahan,” katanya.

Sumbangan disampaikan Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Datuk Zulkarnain Md Eusope kepada Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Ia kemudian diserahkan kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pertahanan Mastura Ahmad Mustafa.

Kenyataan itu memaklumkan sumbangan berkenaan bertujuan meringankan beban warga pertahanan dalam membuat persiapan anak-anak bagi sesi persekolahan yang bakal bermula tidak lama lagi.

“Program Kembali Ke Sekolah ini merupakan program tahunan hasil inisiatif Mindef serta ATM melalui kerjasama serta penglibatan badan-badan korporat dan pelbagai agensi lain.

“Ia juga sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat serta agensi yang terlibat bagi menghargai jasa dan pengorbanan anggota-anggota ATM yang bertugas sebilang masa dalam mempertahankan kedaulatan negara,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas