Berita

Perkasa profesion peguam syarie

- Diterbit 4 Oktober 2019 6:05 AM MYT

SELEPAS tertangguh selama 35 tahun, akhirnya Akta Profesion Guaman Syarie (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2019 dilulus­kan di Dewan Negara pada 31 Julai lalu. Kelulusan itu sekali gus memperkasa dan meningkatkan profesionalisme peguam syarie selain membebaskannya daripada pengaruh mana-mana pihak.

Akta yang akan dikuatkuasakan pada April 2020 itu, mempunyai 93 seksyen dan tiga Jadual yang lebih memfokuskan kepada keistimewaan peguam syarie, penubuhan firma, amalan dan etika profesional serta disiplin Peguam Syarie manakala Jadual pula berkaitan Lembaga Kelayakan Profesion Peguam Syarie, Badan Peguam Syarie serta kawalan harta dan dokumen peguam syarie.

Bagi mengetahui lanjut berkenaan akta baharu ini, wartawan Wilayahku, NAZWIN NAZRI menemu bual peguambela, peguamcara dan peguam syarie, Dr. Zulqarnain Lukman tentang aspek utama yang diketengahkan dan pentingnya mewujudkan akta berkenaan.

WILAYAHKU: Apakah fokus utama Akta Profesion Guaman Syarie (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2019?

Zulqarnain: Fokus utama adalah untuk mengawal selia peguam-peguam syarie di Wilayah Persekutuan yang selama ini dikawal oleh Majlis Agama Islam melalui kaedah yang dibuat di bawah Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993 yang lebih dikenali sebagai Akta 505.

Dengan adanya Akta Profesion Guaman Syarie, bermakna Peguam Syarie tidak dikawal selia dan berada di bawah pentadbiran Majlis Agama Islam. Ia sekali gus membolehkan peguam syarie mengawal diri mereka sendiri seperti peguam bela dan peguam cara di Mahkamah Sivil. Kalau di Mahkamah Sivil ada Maj­lis Peguam (bar council), jadi akta ini seperti mewujudkannya untuk peguam syarie.

Boleh terangkan perbezaan selepas akta ini diwujudkan berbanding sebelumnya.

Zulqarnain: Bezanya adalah dari segi kebebasan. Kalau sebelum ini, kita perlu memperharui lesen peguam syarie di Majlis Agama Islam setiap tahun dan majlis boleh tidak memperbaharui lesen berkenaan.

Contohnya kalau kita ada menyaman seseorang atau Majlis Agama Islam, dalam hati kita akan ada kebimbangan sama ada lesen boleh diperbaharui atau tidak. Jadi, dengan adanya akta ini, lesen tidak dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan peguam syarie boleh berjuang dengan sepenuh hati tanpa ragu-ragu. Majlis Peguam Syarie tidak boleh kata ‘saya tidak mahu perbaharui lesen’ kecuali sekiranya terdapat alasan yang munasabah seperti peguam terbabit melanggar etika, salah guna duit atau menganiaya pelanggan.

Lesen kena perbaharui tetapi dengan Majlis Peguam Syarie. Majlis ini akan diwujudkan juga di bawah akta yang baharu tersebut.

Difahamkan, akan ada latihan dalam kamar selama enam bulan yang bertujuan meningkatkan profesionalisme peguam syarie?

Zulqarnain: Amalan di nege­ri-negeri berbeza, ia dijaga oleh Majlis Agama Islam negeri masing-masing, jadi ada negeri yang buat latihan, ada yang buat ujian atau temuduga dan ada yang mewajibkan latihan dalam kamar dengan tempoh masa berbeza sama ada tiga bulan atau enam bulan.

Kita lihat ada manafaatnya latihan dalam kamar ini kepada graduan.
Latihan praktikal enam bulan cu­kup untuk dia belajar buat kerja kerana kita tidak mahu apabila dia graduan dan mewakili pelanggannya, kes ditolak sebab dokumen yang difailkan salah.

Adalah tidak profesional apabila peguam syarie salah dokumen sedangkan dia sudah ambil upah daripada pelanggan.

Latihan diadakan selepas graduan tamat belajar dan selepas mengemukakan permohanan untuk menjadi peguam syarie iaitu sebelum diberikan lesen penuh.

Mengikut akta baharu, adakah terdapat tempoh untuk setiap Majlis atau Badan atau unit yang hendak diwujudkan?

Zulqarnain: Ia akan berjalan serentak, Lembaga Peguam Syarie, Badan Peguam Syarie dan Majlis Peguam Syarie. Ketiga-tiga kalam ini ada terkandung dalam akta dan mesti dibuat. Tidak boleh buat Lembaga dulu baru buat Majlis, mesti berjalan serentak. Bermakna persiapan untuk membuat ketiga-tiga badan ini mesti berjalan serentak dan tidak boleh ada satu tempoh percubaan selepas diwartakan tarikh kuatkuasanya.

Boleh jelaskan kepentingan g­e­rak kerja setiap badan berkenaan?

Zulqarnain: Lembaga Peguam Syarie dipanggil Lembaga Kelayakan Profesion Guaman Syarie (Seksyen 3 – Seksyen 10) menentukan kelayakan seseorang untuk menjadi peguam syarie sama ada latihan yang dijalani itu cukup atau tidak serta sijil belajar daripada yang diiktiraf universiti. Kita mahu kualiti, jadi Lembaga ini menjaga kualiti peguam syarie tersebut supaya mencapai satu standard.

Badan Peguam Syarie ini adalah seperti Malaysian Bar. Semua peguam syarie akan didaftarkan di bawah Badan Peguam Syarie, jadi setiap tahun akan ada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM).

Kalau bandingkan Persatuan Peguam Syarie Malaysia sekarang agak berbeza sebab persatuan berada di bawah Akta Pertubuhan. Persatuan memang buat AGM tetapi menjadi ahli kepada persatuan tidak wajib, Badan Peguam Syarie ini kalau dia memegang lesen Guaman Syarie, dia wajib menjadi ahli.

Kemudian Badan Peguam Syarie mesti ada pentadbir apabila mempunyai ramai ahli. Peguam Syarie Wilayah Persekutuan akan menjadi pentadbir. Kalau bandingkan dengan Peguam Sivil, Majlis Peguam Syarie sama seperti Majlis Peguam. Badan Peguam Syarie sama seperti Malaysian Bar.

Berkenaan bidang kuasa guaman syaire iaitu mengawal selia amalan dan tahap profesionalisme peguam syarie di Wilayah Persekutuan. Adakah bermaksud sebelum ini peguam syarie tidak profesio­nal?

Zulqarnain: Itu yang menjadi tanggapan orang ramai kerana kadang-kadang bila buat aduan pada Majlis Agama Islam, mereka tidak ambil tindakan. Majlis ada banyak bidang kuasa seperti mualaf, sekolah agama, zakat dan pelbagai lagi.

Tidak ada satu jabatan khusus bagi mengawal selia peguam syarie, yang ada hanya Jawatankuasa Peguam Syarie.

Jawatankuasa pula dianggotai Ke­tua Hakim Syarie, wakil Peguam Syarie, jadi orang tengok ini bukan badan yang profesional yang ditadbir sendiri oleh anggota terlibat sedangkan Majlis Peguam ditadbir sendiri oleh peguam.

Tetapi Peguam Syarie, yang tadbirnya adalah penjawat awam. Orang anggap kita tidak bebas, tidak berhak untuk tentukan hala tuju sendiri. Dengan adanya akta ini kita harap dapat setanding dengan profesion yang lain. Akta baharu ini akan meningkatkan kewibawaan dan profesionalisme peguam syarie.

Kalau kita tengok Badan Peguam Syarie di bawah Seksyen 47, terdapat sembilan matlamat antaranya mempertahankan keadilan tanpa mengira kepentingan sendiri atau kepentingan anggotanya; tidak dipengaruhi perasaan takut atau kasihan; untuk melindungi dan membantu orang awam dalam semua perkara sam­pingan undang-undang syariah. Hala tuju sudah jelas iaitu untuk tingkatkan integriti, status peguam syarie dan mengelak sebarang amalan yang tidak sah, curang, tidak beretika dan sebagainya.

Selain itu, proses untuk melantik peguam syarie akan menjadi lebih telus termasuk tindakan undang-undang.

Di bawah Badan Peguam Syarie ini sendiri akan ada Lembaga Disiplin supaya aduan daripada orang ramai dapat diajukan kepada Lembaga Disiplin dan mereka akan bersidang serta buat keputusan sama ada peguam syarie itu bersalah dan boleh didenda.

Di bawah akta ini juga ada insuran profesional. Sekarang peguam syarie sedang sibuk drafkan kaedah-kaedah kecil di bawah akta ini.

Pentingnya kaedah ini adalah kerana peguam syarie juga berhadapan dengan pelanggan yang bernilai ratusan juta contohnya kes kakak penyanyi terkenal negara yang mana nilai muta’ah adalah RM30 juta. Peguam syarie tidak boleh ambil duit itu dan kalau untuk bayaran dia sekali pun perlu ada kebenaran.

Adakah akta ini membolehkan peguam syarie dilantik dengan lebih telus?

Zulqarnain: Yang meluluskan benda ini bukan dalam kalangan peguam syarie. Kita datang temuduga tiba-tiba tidak lulus sedangkan dah keluar dari­pada universiti dengan lulusan Ijazah Syariah.

Tetapi bila ada Lembaga Peguam Syariesesiapa yang cukup syaratnya pasti dapat. Kita mahu proses yang betul, tidak ada pengaruh manusia lain seperti politik dalaman atau secara peri­badi tidak suka kepada individu yang ditemuduga berkenaan. Peningkatan peguam syarie akan bertambah mengikut kelayakan.

Bila draf kaedah-kaedah kecil. Bilakah akan siap?

Zulqarnain: Peguam Negara telah beri arahan supaya pelaksanaan akta ini dipercepatkan dan sasaran yang diletakkan untuk kuat kuasa akta ini pada April 2020. Menteri juga sudah buat arahan supaya jawatan­kuasa kecil untuk drafkan kaedah ditubuhkan.

Biasanya selepas draf dikemukakan, ia akan masuk ke jawatankuasa teknikal. Selepas masuk jawatankuasa teknikal akan pergi ke Jabatan Peguam Negara. Kalau ada isu dan sebagainya akan ada perbincangan dan dihantar semula ke jawatankuasa teknikal dan pergi kepada gubalan balik, selepas itu menteri akan endorse.

Idea asal akta ini adalah pada 1984 tetapi 2019 baru jadi akta. Kenapa masa panjang? Draf awal-awal dahulu dilakukan oleh Prof. Ahmad Ibrahim yang sudah meninggal dunia pada 1992. Penangguhan tersebut disebabkan masing-masing mula fikir nak buat di peringkat Persekutuan sebagai satu undang-undang, selepas itu bila masuk mesyuarat, negeri-negeri kata mana boleh Persekutuan buat. Selepas itu, timbul pula isu sama ada mahu buat akta atau kaedah atau kaedah yang sedia ada ini diperbesarkan. Bila buat kaedah tidak perlu masuk Parlimen, bila masuk Parlimen akan timbang yang mana Ahli Parlimen bukan agama Islam akan bantah. Akhirnya Akta Peguam Syarie ini mati begitu saja.

Tahun 2001, bila Persatuan Peguam Syarie mula aktif, mereka timbulkan desakan-desakan berkaitan perkara ini. Tahun 2011, masa itu Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri pun cakap ada keperluan untuk gubal akta ini. Puteri UMNO pada tahun 2006 ada bersidang di meja bulat dan buat resolusi supaya akta ini diwujudkan. Tahun 2017, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pun menyatakan akta ini mesti ada. Pertimbangan politik takut tidak lulus.

Kerajaan yang ada sekarang berani buat. Walaupun mungkin ada tentangan tetapi perkara ini dirunding. Semasa perbahasan dalam Parlimen, Ahli Parlimen bukan Islam tidak ada ganggu atau tanya soalan. Maksudnya perkara ini boleh berjalan sehingga ia diluluskan. Saya rasa perkara ini sebenarnya politik kerana dari 1984 akta ini mahu dibuat.

Diharapkan dengan adanya akta ini dan Wilayah Persekutuan menjadi model, negeri-negeri lain akan ikut dan buat enakmen, akhir sekali boleh ada badan penyelaras peguam syarie di peringkat Persekutuan. Maksudnya peguam-peguam syarie ini boleh duduk di peringkat Persekutuan sekali gus membolehkan permohonan lesen dibuat dan tidak berbeza mengikut negeri.

Ada berapa Seksyen di bawah akta ini?

Zulqarnain: Terdapat 93 Seksyen dan tiga Jadual. Dalam pembahagian seksyen ini ada Lembaga Kelayakan Peguam Syarie, cara bagaimana hendak diterima masuk menjadi peguam syarie, pendaftaran sebagai peguam syarie, perakuan amalan tahunan dan keistimewaan peguam syarie, penubuhan firma, Majlis Peguam Syarie, amalan dan etika profesional serta disiplin peguam syarie, prosiding tatatertib dan lain-lain hal.

Jadual yang ada pula berkaitan peruntukan Lembaga Kelayakan Profesion Peguam Syarie iaitu bagaimana mesyuarat akan berlangsung, forum, kehadiran, minit mesyuarat, cara bagaimana Lembaga bertindak. Keduanya Badan Peguam Syarie iaitu mesyuarat tahunan, forum tahunan, mengundi, penubuhan Majlis Peguam Syarie. Yang ketiga berkaitan kawalan harta, dokumen seorang peguam syarie.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas