Berita

Nikmati 200 servis secara serentak

ORANG ramai boleh menikmati pelbagai jualan makanan pada Karnival Putrajaya 2019.
- Diterbit 4 Oktober 2019 6:36 AM MYT

PUTRAJAYA – Hari Terbuka Putrajaya, Karnival Putrajaya dan Digital Putrajaya Exhibition And Conference 2019, gabungan tiga acara yang akan berlangsung di sini dari 3 hingga 6 Oktober ini menyasarkan sejumlah 50,000 pengunjung.

Hari Terbuka Putrajaya 2019 yang bertemakan “Sehari Bersama Rakyat, Menyediakan 1001 Perkhidmatan“ bertujuan memberi peluang kepada 23 kementerian dan 101 agensi untuk menawarkan lebih 200 perkhidmatan secara serentak kepada rakyat pada 5 Oktober dari pukul 9 pagi hingga 6 petang.

Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, antara perkhidmatan menarik yang ditawarkan adalah diskaun saman trafik, pemasangan RFID percuma, pemeriksaan gigi percuma dan semakan wang yang tidak dituntut.

“Selain itu, orang ramai turut dapat manfaat dengan menghadiri karnival kerjaya, urusan pencen, pameran jualan produk komuniti dan banyak lagi.

“Terdapat juga Pameran Angkatan Tentera Malaysia yang akan menempatkan aset Kementerian Pertahanan,’’ katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Aminuddin berkata, Karnival Putrajaya 2019 dengan tema “Ke Arah Komuniti Sejahtera” pula menjadi platform bagi mengumpulkan segenap komuniti melalui 37 acara meliputi aktiviti kecergasan, persembahan, pameran, kaunter perkhid­matan, jualan am, pelbagai pertan­dingan dan aktiviti kanak-kanak, kebudayaan dan demonstrasi secara santai.

Beliau berkata, Digital Putrajaya Exhibition And Conference (DiPEC) 2019 yang bertemakan “Building A Smarter City For The Rakyat” bakal mengetengahkan le­bih 50 pameran teknologi dengan 38 penceramah dari agensi kerajaan dan sektor swasta.

“DiPEC diadakan untuk memberikan pendedahan kepada dan menggalakkan perkongsian pengetahuan teknologi antara penjawat awam, masyarakat, pembuat polisi, pelaksana, pengguna dan mereka yang berkepen­tingan termasuklah Pihak Berkuasa Tempatan, agensi kerajaan dan sektor swasta dalam menjalinkan kerjasama untuk merealisasikan pembangunan bandaraya mampan,’’ katanya.

Menurut Aminuddin, penganjuran DiPEC 2019 pada tahun ini merupakan sumbangan daripada rakan-rakan swasta yang berminat menjalankan pameran di Putrajaya yang dicetuskan melalui proses ‘brainstorming’.

“Kebanyakan vendor yang menyertai pameran DiPEC 2019 ini sanggup menge­luarkan perbelanjaan untuk menyertai pameran ini ke­rana sambutan yang luar biasa daripada pemain industri dan kali ini mereka ber­peluang melakukan lawatan ke Putrajaya Command Center (PCC),’’ katanya.

Dalam pada itu, Ketua Setia­usaha Negara, Tan Sri Dr. Ismail Bakar dalam ucapan pra pelancaran ke­tiga-tiga program berkenaan berkata, program besar yang dianjurkan PPj itu merupakan satu usaha yang wajar dipuji ke­rana ia melaksanakan konsep ‘one stop centre’ untuk semua kementerian yang beroperasi di Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas