Berita

800 penduduk dapat rumah baharu

KHALID (tengah) menyampaikan replika cek kepada pemenang pertandingan blok terbersih pada Majlis Perumahanku Bersih dan Karnival Kerjaya di PA Seri Negeri Sembilan, Sentul baru-baru ini.
- Diterbit 4 Oktober 2019 4:25 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

KUALA LUMPUR – ­Penduduk Perumahan Awam (PA) Seri Negeri Sembilan bersyukur apabila Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad menyuarakan ketegasan untuk memastikan pembangunan semula kediaman penduduk dilaksanakan.

Pengerusi Persatuan Penduduk di situ, Md. Yusoff Md. Isa berkata, perumahan ini dibina pada tahun 1981, selepas 38 tahun keadaannya sudah menjadi usang dan proses membaik pulih sukar kerana struktur yang sudah lama, bocor, sempit serta tidak selesa.

“Perumahan setinggi lima tingkat ini tiada kemudahan lif. Kebanyakan penduduk di­ sini merupakan penduduk asal yang sudah berusia lebih 60 tahun.

Oleh itu projek pembangunan semula ini amat diperlukan penduduk di sini,” katanya kepada Wilayahku selepas perasmian Program Perumahanku Bersih dan Karnival Kerjaya di perumahan tersebut baru-baru ini.

Menurut Md. Yusoff, penduduk juga sudah mendatangani surat setuju terima pelaksanaan projek berkenaan dan berharap ia dapat diluluskan segera bagi membolehkan kehidupan yang lebih baik dikecapi pada masa hadapan.

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan SkyWorld Developement Group, Datuk Ng Thien Phing berkata, proses pembangunan semula mungkin mengambil masa selama setahun enam bulan.

“Proses ini bergantung kepada beberapa perkara yang melibatkan teknikal sehingga perintah pembangunan (DO) dapat dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya.

Ujar Thien Ping, pihaknya akan mendapatkan tanah kerajaan untuk memindahkan penduduk terlibat ketika proses pembinaan dijalankan.

“Pihak kami akan membangunkan 800 unit untuk penduduk yang telah bersetuju dengan projek berkenaan.

“Setiap penduduk akan mendapat sebuah unit berkeluasan 800 sekaki persegi hingga 900 sekaki persegi yang setaraf mini kondominium dengan harga kira-kira RM250,000 hingga RM300,000 secara percuma sebagai ganti penyerahan unit mereka untuk dibangunkan,” katanya.

Terdahulu Khalid berkata pihak ke­rajaan mengalu-alukan inisiatif pihak swasta untuk melaksanakan pembangunan semula di kawasan PA dan projek perumahan rakyat (PPR) di seluruh Kuala Lumpur.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas