Artikel

Perkasa ekonomi mandiri gaya KL

BERNIAGA kecil-kecilan juga mampu melonjak ekonomi negara terutama
- Diterbit 21 November 2020 6:00 AM MYT

PADA bulan Jun 2020 yang lepas, Perdana Menteri China, Li Keqiang telah melontarkan idea atau polisi baharu, iaitu ‘street vendor economy’ yang kemudiannya, pada hari ini, menjadi antara rujukan ekonomi utama di seluruh dunia.

‘Street vendor economy’ atau Ekonomi Peniaga Jalanan merupakan satu bentuk ekonomi yang membolehkan peniagapeniaga terutama sekali peniaga kecil dan sederhana untuk memperoleh sumber pendapatan melalui aktiviti menjaja.

Bentuk ekonomi yang unik ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban ekonomi rakyat dan negara.

Polisi baru ini bertujuan untuk mencipta peluang perniagaan sendiri untuk menyerap pengangguran yang diakibatkan oleh pandemik COVID-19.

Street vendor economy dikatakan dapat menguruskan krisis pengangguran dengan efektif.

Idea ini dapat mendorong khalayak ramai untuk menubuhkan gerai terbuka sendiri sebagai pekerjaan penuh atau pekerjaan sambilan sempena gelombang pengangguran yang tidak pernah terjadi pada masa dulu yang disebabkan oleh krisis ekonomi berikutan penularan wabak COVID-19.

CIPTA PEKERJAAN

Polisi street vendor economy yang disyorkan oleh Li Keqiang diwujudkan kerana banyak pekerja China kehilangan pekerjaan memandangkan penutupan perniagaan dan gangguan pengangkutan sejak kebelakangan ini.

Kerajaan China bersiap siaga untuk membenarkan lebih banyak penjual jalanan dan melonggarkan sekatan dalam usaha untuk membangkitkan ekonomi.

Dijangkakan sebanyak sembilan juta peluang pekerjaan akan dicipta oleh perniagaan penjual jalanan.

Di Malaysia pula, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga memperkenalkan inisiatif ‘street vendor economy’ ala Malaysia dengan menawarkan 2000 lagi lokasi perniagaan baharu dan lesen perniagaan sementara kepada pemohon yang berminat untuk berniaga.

Rakyat KL kini dibenarkan dan juga dialu-alukan untuk membuka gerai atau berniaga di mana-mana lokasi yang sesuai di sekitar bandar raya KL secara skala kecil.

Rakyat kini boleh berniaga di depan rumah atau di tepi jalan kawasan perumahan, biar separuh masa mahupun sepenuh masa dengan syarat permohonan lesen peniagaan sementara diluluskan.

Tambahan lagi, warga kota kini juga boleh berniaga di sekitar KLCC dan tempat ramai penduduk KL dan di kawasan tertentu di bawah kuasa KWP dan DBKL.

EKONOMI MANDIRI

Inisiatif ini bersasar pada warga Wilayah Persekutuan yang hilang pekerjaan dan mereka digalakkan supaya membuat permohonan untuk memulakan perniagaan.

Ia dijangkakan dapat meredakan aliran tunai rakyat yang semakin sempit akibat wabak COVID-19 ini.

Inisiatif baharu dan fleksibel ini dirangka dan dilakukan untuk memanfaatkan rakyat di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dengan memperkasa ekonomi mandiri dan  mengurangkan beban ekonomi mereka susulan peningkatan kes COVID-19 di Lembah Klang dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, polisi ini bertujuan untuk membantu mereka yang menganggur secara mendadak dan hilang mata pencarian.

Warga Wilayah Persekutuan dibenarkan berniaga sehingga 15 April 2021 melalui langkah baharu ini dan perniagaan yang dibenarkan termasuk makanan, pakaian dan apa saja jenis perniagaan lain.

Pada 10 November 2020, beliau juga telah mengumumkan inisiatif Wilayah Bebas Berniaga bermula dari 15 November 2020 sehingga 15 April 2021.

Pemohon yang berminat perlu memohon lesen perniagaan sementara  yang sah selama enam bulan di laman web DBKL.

KAWAL SELIA UNDANG-UNDANG

Lesen tersebut akan ditawarkan secara percuma. Asalkan tidak mengganggu trafik dan menjaga kebersihan dan ketenteraman sekitar, permohonan lesen perniagaan sementara akan dipermudahkan oleh pihak berkuasa tempatan supaya menawarkan peluang kepada mereka yang berminat untuk mencari pendapatan.

Di samping itu, cadangan lokasi yang sesuai untuk berniaga boleh diberikan oleh pemohon-pemohon kepada KWP dan DBKL untuk dipertimbangkan.

Walau bagaimanapun, jikalau peniagaan tersebut boleh mengancam keselamatan awam atau menyebabkan kesesakan lalu lintas, DBKL akan menggantung lesen perniagaan sementara tersebut.

Sementara itu, jika peniaga tidak dapat menuruti prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang ditetapkan oleh DBKL, maka DBKL akan bertindak untuk menguatkuasa penutupan.

Pada masa yang sama, mari kita beralih kepada E-Dagang yang menjadi ‘red ocean’ sejak perintah kawalan pergerakan dilaksanakan.

BANTUAN LESTARI

Berbelanja atas talian mahupun melalui ‘Facebook Live’ atau aplikasi membeli-belah semakin popular, namun persaingan antara peniaga dalam talian amat besar dan seringkali terpaksa menjual dengan harga yang amat rendah.

‘Red ocean’ sebegini menyebabkan pihak yang kekurangan modal tidak berupaya untuk memulakan perniagaan.

Dengan polisi ‘street vendor economy’, golongan yang kekurangan modal ini berpeluang mencari jalan keluar dengan modal kecil.

Lagipun pandemik COVID-19 ini dijangka tidak akan berakhir dalam masa singkat, rakyat perlukan bantuan lestari.

Adalah diharapkan agar agensi-agensi di bawah KWP mempergiat usaha-usaha yang inovatif dan pendekatanpendekatan yang fleksibel untuk menolong lebih ramai warga Wilayah yang terjejas serta memudahkan segala urusan birokrasi dan permohonan supaya banyak lagi yang dapat dibantu.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas