Agama

Suami Bawa Madu Tidur Sekatil, Lakukan Hubungan Intim… Apa Hukumnya?

|
- Diterbit 18 November 2020 11:12 PM MYT

PANDEMIK COVID-19 bukan sahaja menimbulkan masalah kewangan atau pendapatan dalam kalangan masyarakat, malah turut memberi kesan negatif kepada sesetengah hubungan rumah tangga. 

Baru-baru ini, Wilayahku ada mendengar luahan seorang isteri yang kecewa apabila suaminya berkahwin lagi sedangkan mereka sudah mempunyai tiga orang anak.

Pada mulanya si isteri ini reda dan pasrah apabila suami kekurangan pendapatan disebabkan COVID-19, namun perbuatan suami membawa madunya yang sedang hamil ke rumahnya sangat mencengkam emosi.

Apatah lagi, apabila suami bawa madu tidur sekatil (kerana tiada bilik kosong) dan melakukan hubungan seks di sebelahnya. 

Isteri pertama ini bernekad mahu menuntut cerai namun serba salah jika permintaan itu menyalahi agama.

Ini jawapan Datuk Dr. Mashitah melalui bukunya Fitrah Wanita.

“Bagi seorang wanita, memang sangat mengecewakan apabila suami berkahwin satu lagi. Bagaimanapun jika ia sudah berlaku, wanita tidak boleh bermain dengan emosi lagi.

“Puan perlu tahu bahawa syarat untuk suami berpoligami ialah kemampuan dan keadilan. Dari segi kemampuan nampaknya masih dipertikaikan kerana dia tidak mampu menyediaka rumah (tempat tinggal) untuk isteri kedua.

“Suami TIDAK BOLEH membawa isteri kedua ke rumah isteri pertama kecuali isteri pertama redha, apalagi meniduri dan berhubungan atas katil yang satu dengan keadaan isteri pertama memerhatikannya.

“Bukan sahaja suami tidak adil, tetapi Islam melarang perhubungan itu ditonton oleh orang lain. Suaminya dalam hal ini berdosa,” katanya yang berharap isteri pertama fikir terlebih dahulu sebelum meminta cerai. 

“Lakukanlah solat istikharah dan timbanglah dengan saksama kemampuan diri sendiri. Orang lain tidak boleh buat keputusan.

“Tujuan rumah tangga ialah untuk kenikmatan suami isteri berkasih sayang selain tanggungjawab terhadap keluarga. Jika kedua-duanya sudah tidak ada lagi pada suami, timbanglah sepatutnya.

“Jika ingin meminta cerai, lebih mudah pujuk suami lepaskan secara baik. Jika tidak, nampaknya terpaksalah melalui proses mahkamah,” katanya lagi.

Walaupun kita diuji dengan kesusahan disebabkan COVID-19, suami isteri perlu banyak berbincang.

Semoga apa yang berlaku menjadi pengajaran buat kita semua. – WILAYAHKU

Sumber rujukan: Buku Fitrah Wanita oleh Datuk Dr. Mashitah

Foto: instagram @kumparancom @klinikhukum

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas