Artikel

Sinar harapan untuk Kampung Baru

KAMPUNG BARU masih lagi dalam dilema pembangunan disebabkan pertikaian harga antara pemilik dan pembeli. - Gambar hiasan
- Diterbit 22 November 2020 6:00 AM MYT

ADAKAH sinar harapan yang ditunggutunggu akhirnya akan menjelma juga di Kampung Baru, Kuala Lumpur, setelah beberapa dekad perancangan membangunkan perkampungan di tengah kota itu belum menampakkan cahaya di hujung terowong?

Cahaya harapan ini disandarkan kepada kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa, bahawa kementerian dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu akan  membentangkan pelan induk baharu dengan kos anggaran keseluruhan
bernilai RM1.5 bilion.

Ini dilakukan setelah matlamat awal pembangunan yang dirancang pada era kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak dapat dilaksanakan akibat gagal mendapat persetujuan kesemua pemilik tanah di kampung tersebut selain kos yang tinggi.

Pelan berasaskan konsep ‘pembeli rela, penjual rela’ atau ‘willing buyer, willing seller’ itu hanya mendapat persetujuan 61 peratus penduduk sedangkan konsep itu memerlukan persetujuan 100 peratus penduduk.

Kerana itulah langkah alternatif perlu diambil dalam usaha memastikan usaha membangunkan Kampung Baru dapat diteruskan setelah sekian lama menemui jalan buntu.

“Pelan berasaskan konsep ‘pembeli rela, penjual rela’ atau ‘willing buyer, willing seller’ itu hanya mendapat persetujuan 61 peratus penduduk sedangkan konsep itu memerlukan persetujuan 100 peratus penduduk.

Untuk itu Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) telah pun menghantar kertas cadangan Akta Pembangunan Kampung Baru ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Adi difahamkan, akta ini bakal menggantikan Penempatan Pertanian Melayu atau Malay Agricultural Settlement (MAS) berhubung urusan pentadbiran, perancangan dan pengurusan di Kampung Baru yang sebelum ini dikendalikan oleh MAS.

Apabila mendapat reaksi balas daripada Pejabat Peguam Negara, cadangan tersebut akan dikemukakan kepada kabinet dan seterusnya dibentangkan di Dewan Rakyat.

Dengan menggunakan akta baharu ini, pembangunan Kampung Baru boleh disandarkan kepada Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020-2040.

Pelan struktur ini tidak mendiskriminasi Kampung Baru. embangunannya akan dilaksanakan seiring dengan pembangunan kawasan sekeliling.

Adi melihat ini sebagai satu langkah permulaan yang positif sekalipun pembangunan keseluruhan Kampung Baru secara khusus tidak dapat dilakukan pada jangka waktu singkat.

Namun langkah permulaan perlu ada. Ini penting untuk memberi harapan serta tanda bahawa pembangunan bakal dilaksanakan juga peringkat demi peringkat.

Pelan pembangunan akan dipecahkan kepada 44 parcel dengan peruntukan RM1.5 bilion. Pelaksanaan pembangunan ialah membangunkan parcel demi parcel.

Bagi Adi ini langkah bijak kerana ia akan membantu menyelesaikan masalah tuntutan pemilikan tanah dengan lebih mudah.

Difahamkan, sebagai langkah permulaan, sebanyak lapan hektar tanah akan dipilih dan dimajukan segera. Jika semuanya berjalan seperti dirancang, pembangunan akan dimulakan tahun hadapan.

Adi berharap rancangan pembangunan Kampung Baru berjalan dengan lancar dan segala permasalahan dapat ditangani. Para penduduk juga perlu memberi kerjasama jika ingin menyaksikan kampung mereka ‘berdiri sama tinggi, duduk sama rendah’ dengan kawasan sekitar.

BEBAS BERNIAGA BUKAN IKUT SUKA HATI

Pengumuman menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai kawasan ‘bebas berniaga’ selama enam bulan mulai 15 November 2020 hingga 15 April 2021 mungkin tidak diduga oleh banyak pihak.

Namun ini adalah satu lagi ‘kejutan menggembirakan’ atau pleasant surprise diumumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa, yang sebelum ini telahpun mengumumkan pelbagai program bagi kesejahteraan warga Wilayah Persekutuan, khususnya dalam kemelut pandemik COVID-19.

Antaranya menyediakan lebih 1,000 kios perniagaan di Kuala Lumpur dan Putrajaya, memberikan permit sementara kepada peniaga tepi jalan, juga memberi insentif melalui Insentif Wilayah Cakna.

Adi sifatkan langkah yang diambil oleh Kementerian Wilayah Persekutun (KWP) melaksanakan polisi ‘bebas berniaga’ ini sebagai tindakan pro aktif yang tepat dan memenuhi keperluan semasa membantu rakyat yang terkesan akibat COVID-19.

Justeru bagi Adi, pengumuman Annuar Musa adalah harapan baharu kepada mereka meneruskan hidup dengan menceburkan diri dalam bidang perniagaan sebagai peniaga atau penjaja.

Dengan konsep ‘bebas berniaga’, mereka yang berminat berniaga di Wilayah Persekutuan boleh mendirikan gerai atau warung perniagaan di lokasi pilihan mereka, dari depan rumah hinggalah ke tepi-tepi jalan yang difikirkan sesuai.

Syaratnya, gerai atau warung tidak menghalang pergerakan lalu lintas, tidak menghalang pergerakan orang ramai, tidak menghalang tempat parkir serta mengutamakan kebersihan.

Prosesnya juga mudah. Cuma mohon kepada pihak berkuasa, sama ada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL). Ini untuk membolehkan mereka mendapat permit perniagaan sementara.

Walaupun bebas berniaga, bukan bermakna tiada syarat atau peraturan dikenakan.

Permohonan mendapatkan permit perlu untuk membolehkan pihak berkuasa memantau para peniaga ini di samping mewujudkan satu pangkalan data peniaga bagi rujukan di masa hadapan.

Proses mendapatkan permit juga dipermudahkan. Setelah menerima permohonan, jika perlu pihak berwajib akan datang melawat lokasi yang dipohon dan meninjau kedudukannya. Jika sesuai dan mematuhi peraturan dikenakan, permit akan diberi.

Adi setuju dengan peraturan yang ditetapkan agar tidak timbul salah faham bahawa bebas berniaga seolah-olah bermakna boleh sesuka hati mendirikan gerai atau warung tanpa ada kawalan langsung sehingga menyakitkan mata memandang dan mengabaikan kebersihan.

Jenis perniagaan juga bebas, terpulang kepada individu. Gerai makanan, gerai burger, gerai kuih-muih atau minuman semuanya boleh. Yang  penting memberi kepelbagaian kepada pelanggan dan memberi mereka banyak pilihan.

Adi harap mereka yang minat berniaga melalui program ‘bebas berniaga’ ini mengggunakan peluang yang diberi sebaik-baikya. Tanamkan semangat untuk berjaya dan benar-benar komited menceburi bidang perniagaan.

Jangan sia-siakan peluang yang diberi atau berniaga hanya sambil lewa. Akibatnya kejayaan sukar dikecapi.

Jangan juga cuba mencari keuntungan mudah dengan menyewakan gerai kepada orang lain, apatah lagi bukan warganegara.

Perlu diingat apabila program ‘bebas berniaga’ ini tamat pada 15 April 2021 bukan bermakna peluang mereka yang terlibat untuk terus berniaga juga berakhir.

Jaminan sudah diberi oleh Annuar Musa mereka berpeluang untuk terus berniaga tetapi dengan kaedah susunan semula gerai dan warung perniagaan seperti proses biasa, serta memenuhi keperluan syarat dan undangundang DBKL, PPj atau PL.

Mereka yang didapati komited, patuh pada peraturan serta tidak  mendatangkan masalah pasti mempunyai peluang lebih besar untuk dipilih meneruskan perniagaan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas