Berita

Penguatkuasa DBKL perlu berhemah dalam melaksanakan tindakan penguatkuasaan – Shahidan

- Diterbit 29 September 2022 8:12 AM MYT

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mengingatkan pegawai dan anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu berhemah dan menggunakan kaedah bersesuaian tetapi berkesan serta mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan dalam melaksanakan penguatkuasaan.

Katanya, peringatan ini dibuat berikutan segala tindakan penguatkuasaan oleh DBKL sentiasa diperhati dan sering dijadikan contoh terutamanya pihak berkuasa tempatan (PBT) lain.

“Oleh itu, Jabatan Penguatkuasaan DBKL harus memberikan perkhidmatan terbaik dan berkualiti supaya menjadi contoh teladan kepada pihak lain. Tindakan kita perlu cepat, tepat dan berkesan serta memenuhi ekspektasi yang diharapkan warga kota.

“Sebagai pasukan penguatkuasaan terbesar di dalam negara, warga kerja Jabatan Penguatkuasaan DBKL perlu sentiasa meningkatkan komitmen dan ketelusan dalam melaksanakan tugas yang diberikan kerana jabatan ini memainkan peranan cukup penting bagi memastikan keselamatan dan keamanan negara terjaga serta terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Penguat Kuasa Jabatan Penguatkuasaan DBKL kali ke-53, di Menara Penguatkuasa DBKL, Bandar Tun Razak yang turut dihadiri Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Sambutan Hari Penguat Kuasa merupakan satu pengiktirafan kepada warga kerja Jabatan Penguatkuasaan DBKL bagi menghargai jasa dan komitmen mereka dalam melaksanakan penguatkuasaan di ibu negara, sejak 53 tahun lalu.

Sementara itu, Mahadi dalam ucapannya berkata,  tugas-tugas penguatkuasaan kini berdepan cabaran yang memerlukan profesionalisme, kemahiran dan kebijaksanaan melaksanakan tindakan yang tepat dan cepat berdasarkan peruntukan undang-undang berikutan banyak isu mengenai penularan gambar dan rakaman video yang pantas dalam era informasi tanpa batasan.

“Adalah penting bagi setiap pegawai penguat kuasa untuk menggunakan pendekatan yang terbaik dalam menangani isu penguatkuasaan apabila berdepan dengan penguatkuasaan undang-undang ke atas warga kota.

“Besar harapan saya agar setiap aspek dalam kerja dan penugasan penguatkuasaan diberi perhatian yang tinggi, serta setiap tindakan dilaksanakan dengan penuh berintegriti, cekap dan pantas,” katanya.

Dalam majlis sama, seramai 37 pegawai dan kakitangan termasuk dari jabatan dalam DBKL telah dianugerahkan pelbagai pingat sebagai pengiktirafan kepada mereka yang telah menunjukkan prestasi kerja cemerlang serta kerjasama antara jabatan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas