Berita

Hijrah pemangkin ekonomi kendiri

|
- Diterbit 30 September 2022 8:53 AM MYT

GOLONGAN ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ merupakan antara kumpulan masyarakat yang terus berdepan cabaran untuk meneruskan kelangsungan hidup khususnya di Wilayah Persekutuan.

Mereka yang tergolong di bawah kategori miskin tegar ini hanya memperolehi pendapatan di bawah RM1,196 memerlukan perhatian dan bimbingan daripada kerajaan untuk keluar daripada kepompong kefakiran.

Menerusi Program Basmi Miskin Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang dipacu Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), angka miskin tegar di Kuala Lumpur dan Labuan seramai 2,018 akan dibantu dan dibimbing sekali gus memastikan mereka mampu berdikari dan berhijrah untuk keluar dari putaran ganas kemiskinan.

KWP optimis sifar miskin tegar dicapai hujung tahun ini

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) optimis dapat mencapai sasaran sifar miskin tegar di Wilayah Persekutuan menjelang akhir tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata beberapa strategi untuk mencapai sasaran itu telah bermula Ogos lalu dengan menjalin kerjasama strategik bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui sumbangan kepada golongan sasar.

“Kita mengambil pendekatan memberikan sumbangan daripada JKM dan MAIWP supaya kedua-dua sumbangan ini akan mencukupkan syarat bagi membolehkan penerima keluar daripada kumpulan miskin tegar ke paras miskin.

“Melalui Program Basmi Miskin Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) di bawah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) ia boleh memastikan supaya golongan ini meneruskan kesinambungan supaya mereka tidak lagi turun daripada paras miskin tegar,” katanya.

SHAHIDAN (dua dari kiri) menyampaikan peralatan kepada seorang peserta BMTKM fasa pertama di Kompleks Muhibah pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan dalam Majlis Penyerahan Peralatan Keusahawanan kepada 45 Peserta Program BMTKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Pusat Komuniti Muhibah pada Ahad yang dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Tegasnya, program ini memberikan peluang kepada golongan ini meneruskan usaha untuk tidak kembali menjadi miskin tegar sekali gus memperbaiki taraf kehidupan ke kategori miskin sehingga bebas daripada kemiskinan.

“Jumlah kategori miskin tegar di Wilayah Persekutuan tidak banyak, hanya di bawah 3,000 sahaja dan kategori miskin mempunyai lebih 4,000.

“Kita sasarkan supaya golongan ini bebas dari kemiskinan miskin tegar menjelang awal tahun hadapan supaya mereka mampu berhijrah ke taraf hidup yang lebih baik.

Katanya, peserta ini bakal memperolehi perubahan yang besar kerana ia membolehkan mereka menyertai program ekonomi secara aktif dengan menjadi pemain kepada aktiviti ini.

Tambahnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Labuan (PL) akan membantu EPU dan rakan strategik lain bagi menjayakan program ini termasuklah mempertimbangkan pemberian lesen perniagaan sekiranya mereka ini berniaga di tempat-tempat yang memerlukan lesen supaya aktiviti ekonomi peringkat rendah dan sederhana berterusan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas