Berita

Hospital Pakar Al-Islam pupuk kesedaran kepentingan CPR

|
- Diterbit 29 September 2022 12:26 AM MYT

ILMU tentang kaedah pertolongan cemas CPR (Cardio-Pulmonary Resuscitation) amatlah penting bagi setiap orang awam.

Melakukan CPR adalah langkah awal untuk menyelamatkan mangsa sementara menunggu kakitangan terlatih atau paramedik tiba di tempat kejadian.

Ini kerana, CPR berfungsi untuk mengembalikan pengaliran darah dan kadar oksigen yang mencukupi ke paru-paru, otak dan organ-organ penting yang lain.

Menyedari kepentingan CPR kepada orang awam, terutamanya yang melibatkan tekan dada, Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru, Kuala Lumpur telah mengadakan program kesihatan percuma Lifesavers dan Karnival Hospital Pakar Al-Islam buat masyarakat setempat.


PROGRAM Lifesavers dan Karnival Hospital Pakar Al-Islam dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail.

Mengulas tujuan program yang berlangsung di Masjid Kampung Baru pada 24 September baru-baru ini, Pengarah Program, Sarah Sabreina Md Sabidi berharap ia bermanfaat buat masyarakat yang hadir.

“Ini adalah sempena menyambut Hari Lifesavers sedunia. Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran kepada orang awam tentang kepentingan melakukan CPR.

“Prinsip pertolongan cemas CPR ini adalah untuk menyelamatkan nyawa mangsa, mengurangkan kesakitan mangsa, dan mengelakkan daripada keadaan bertambah teruk.

“CPR ini kebiasaannya dilakukan apabila jantung terhenti dan tiada pernafasan berlaku. Kebanyakannya berlaku di luar hospital.

“Biasanya jantung terhenti ini berlaku disebabkan individu itu mempunyai sakit jantung atau masalah kesihatan yang lain seperti kencing manis, darah tinggi dan sebagainya.

“Jadi apabila berlakunya jantung terhenti dalam kalangan orang awam, mereka yang terdekat atau ahli keluarga boleh melakukan CPR ini kepada mangsa sebelum ambulans sampai.

“Tujuan utamanya adalah untuk membekalkan darah terus ke otak. Ini kerana apabila jantung terhenti, darah tidak dipam ke otak.

“Jadi dalam masa empat minit yang kritikal (sementara menunggu untuk dirawat oleh team perubatan), kita perlu bekalkan darah ke otak. Proses ini sebenarnya membantu otak kita menerima oksigen,” jelasnya.

SARAH Sabreina dan Mastura Ahmad berharap program yang menekankan kepentingan CPR akan terus dimanfaatkan oleh masyarakat.

Manakala Timbalan Pengarah Projek, Mastura Ahmad pula berharap program ini bukan hanya memberi kesedaran tentang kepentingan CPR, tetapi cara atau teknik yang dilakukan juga haruslah betul.

“Dengan adanya program ini, kami ajar cara atau teknik CPR yang betul untuk menyelamatkan mangsa.

“Iyalah, semua orang boleh tekan-tekan dada, tapi bagaimanakah cara yang betul?

“Jadi cara melakukan CPR yang betul perlu agar tidak memudaratkan orang yang pengsan atau jantung terhenti itu.

“Orang awam yang berhadapan situasi tersebut, tidak perlu lakukan pernafasan mulut ke mulut. Sekarang tumpuan kita adalah terus buat tekan dada iaitu high quality CPR agar jantung mangsa kembali berfungsi,” ujarnya.

Menurut Mastura lagi, kelewatan melakukan CPR akan menjejaskan kesihatan dan fizikal mangsa.

“Kalau kita lambat buat CPR, kemungkinan dia boleh hidup tapi otak dia dah mati.

“Kalau otak dah mati, dia mungkin akan terlantar di katil tetapi kaki dan tangan tak boleh bergerak dah,” tambahnya lagi.

PAKAR Perubatan Hospital Pakar Al-Islam, Dr. Ishak Mas’ud sentiasa mengutamakan kepentingan kesihatan masyarakat.

Program Lifesavers dan Karnival Hospital Pakar Al-Islam ini mendapat tumpuan lebih 500 orang awam dari pelbagai lapisan masyarakat terutamanya Jemaah Masjid Jamek Kampung Baru serta penduduk setempat Kampung Baru.

Selain menekankan kepentingan CPR, program ini turut mendedahkan kepentingan mesin AED yang disampaikan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail.

AED perlu ditempatkan di kawasan masjid bagi membantu menyelamatkan nyawa apabila diserang sakit jantung.

SOKONGAN yang amat menggalakkan daripada penduduk setempat dan pelajar-pelajar universiti.

ORANG ramai diberi peluang menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma.

Seterusnya, slot yang pertama dimulakan dengan ceramah Ibadah Pesakit dari Ustaz Mohd Zulkifli Awang, Pegawai Spritual & Chaplaincy.

Selanjutnya, program diteruskan dengan penyampaian ceramah oleh Pegawai Perubatan, Dr Husniah Abd Razak, dengan memberi keterangan berkenaan Teori Pertolongan Cemas bagi serangan jantung serta teknik penggunaan AED.

LAKONAN semula yang menunjukkan cara melakukan CPR yang betul.

Bukan itu sahaja, masyarakat yang hadir diberi peluang menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma dan mendapatkan pelbagai info di ruang pameran atau khidmat dengan usaha sama Tabung Haji, Pusat Pungutan Zakat dan Baitulmal.

Selain itu, pertandingan melukis bertemakan Hari Malaysia tajaan Bank Islam juga diadakan bagi memeriahkan lagi program tersebut.

Kejayaan program ini juga adalah hasil kerjasama dengan beberapa pihak seperti Masjid Jamek Kampung Baru, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd, Federation of Islamic Medical Associations (FIMA), International Home Care Nursing Sdn. Bhd. (IHCN), Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Tabung Amanah Pesakit Malaysia dan Malaysian Relief Agency (MRA).

Tidak lupa juga para penaja yang menyokong program ini iaitu Southern Crescent Sdn. Bhd, Arah Tenang Sdn. Bhd, Bank Islam, Bergamot Sdn. Bhd., Excellent Medical Trading, EY Trading dan Izz Ho Enterprise.

PERTANDINGAN mewarna bertemakan Hari Malaysia turut diadakan.

Bukan itu sahaja, program kesedaran kesihatan ini turut mendapat sokongan Sastered One Venture, Aureumaex Medicare Marketing, Summit Company, Unam Pharmaceutical dan beberapa doktor pakar hospital yang memberi sumbangan. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas