Berita

Pembangunan rumah mampu milik PR1MA dua negeri dirancakkan semula

PERBADANAN PR1MA Malaysia (PR1MA) merancakkan semula pembangunan projek-projek rumah mampu milik PR1MA di Kuala Lumpur dan Selangor.
- Diterbit 12 Januari 2022 9:48 AM MYT

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020 menyebabkan banyak sektor-sektor pembangunan terpaksa memberhentikan operasinya namun ia giat dirancakkan kembali selepas negara beralih ke fasa Pasca PKP.

Justeru itu, Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) mengambil langkah merancakkan semula pembangunan projek-projek rumah mampu milik PR1MA di dua negeri iaitu Kuala Lumpur dan Selangor serta menyakini akan mampu menggiatkam pemilikan rumah dalam kalangan M40.

Pengerusi PR1MA, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata, pembangunan projek rumah tersebut kini telah dirancakkan semula dengan sasaran tarikh yang baru meskipun pelaksanaan PKP dua tahun lalu menyebabkan proses pembinaan rumah tersebut diperlahankan dan dilewatkan penyiapan projeknya.

“Kami ingin memberi peringatan kepada kontraktor dan konsultan untuk menyiapkan projek ini dengan sebaiknya mengikut perjanjian dimeterai serta kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya kepada mereka yang ingkar,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, terdapat tiga projek di Kuala Lumpur yang mana dua telah disiapkan dan satu masih dalam pembinaan manakala Selangor mempunyai lima projek iaitu dua di Kajang, dua di Cyberjaya dan satu di Bandar Bukit Mahkota.

“Daripada jumlah projek di Selangor tersebut, tiga daripadanya telah siap manakala dua masih dalam pembinaan. Projek-projek ini dilaksanakan dengan matlamat untuk menyediakan kediaman yang selesa, berkualiti dan berpatutan kepada rakyat Malaysia yang bermastautin di ibu kota dan kawasan sekitarnya,” katanya.

Sementara itu, PR1MA sedang berusaha memastikan pelan mitigasi dua projek sakit iaitu Residensi Bandar Bukit Mahkota dan Residensi Brickfields untuk membantu rakyat terkesan akibat daripada penutupan sektor ekonomi ketika PKP berada dalam senarai keutamaan.

“Dua projek tersebut telah diberikan perhatian khusus dan langkah untuk menambah pekerja di tapak telah dilaksanakan untuk mempercepatkan proses penyiapan projek tersebut.

“Kedua-dua projek ini terletak di lokasi stretegik dan ia telah mendapat sambutan yang memberangsangkan dari segi jualan yang mana Residensi Bandar Bukit Mahkota telah terjual sebanyak 77 peratus manakala Residensi Brickfields pula terjual sebanyak 95 peratus,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, beliau bersama Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Mohd Nazri Md Shariff dan pihak pengurusannya telah melakukan lawatan ke projek sakit PR1MA di utara Semenanjung, Melaka dan Negeri Sembilan.

Untuk maklumat lanjut mengenai PR1MA, boleh layari laman sesawang di www.pr1ma.my atau hubungi Pusat Panggilan PR1MA di 03-76289898 (tutup pada cuti umum di Selangor). Orang ramai juga boleh menghantar e-mel kepada [email protected]. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas