Berita

Remaja lelaki hilang di Gua Musang masih belum ditemui

MUHAMMAD Iznun Al Hazim Mahadi hilang sejak 10 Januari lalu. GAMBAR - FACEBOOK AZIZUL RAHMAN
- Diterbit 12 Januari 2022 5:28 AM MYT

DI tengah kebimbangan ancaman harimau ‘Pak Belang’ yang tular di media sosial dekat Gua Musang baru-baru ini, timbul satu laporan kehilangan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang dikatakan masih belum ditemui sehingga hari ini.

Laporan kehilangan remaja lelaki, Muhammad Iznun Al Hazim Mahadi itu dibuat ibunya di Balai Polis berdekatan pada pukul 7 malam semalam selepas menyedari mangsa tidak pulang ke rumah sejak kelmarin (10 Januari).

Perkongsian di laman Facebook bapa saudaranya, mangsa dipercayai keluar daripada rumah pada pukul 9 malam untuk bermain bersama tiga rakanya di hadapan rumah dan dikatakan telah pergi seorang diri ke arah semak untuk membuang air kecil.

Bagaimanapun, ketiadaan mangsa disedari ibunya pada pukul 3 pagi dan terus mencarinya bersama keluarga di sekitar kawasan kampung.

Kehilangan remaja terbabit telah disahkan oleh Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supritenan Sik Choon Foo yang memaklumkan operasi mencari dan menyelamat telah digerakkan sejak semalam (12 Januari) bermula pukul 8 pagi .

Operasi pencarian mangsa dengan jarak radius dua kilometer itu turut melibatkan agensi lain iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan turut mendapat bantuan daripada penduduk kampung.

Sementara itu, susulan aduan penduduk berkenaan ancaman harimau belang yang berkeliaran di kawasan Perkampungan Orang Asli Pos Bihai di Gua Musang, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) masih giat menjalankan operasi pemantauan dan kawalan di kawasan tersebut.

Menurut Jabatan Perhilitan, pihaknya telah memasang tiga perangkap harimau belang (perangkap wahab) iaitu dua buah di Kampung Tendrik dan satu di Kampung Hak, Pos Bihai.

“Hasil Survei Harimau Kebangsaan Pertama (NTS1) mendapati majoriti daripada populasi Harimau Malaya berada di kawasan hutan simpan di Semenanjung Malaysia terutama di kompleks Taman Negara-Banjaran Titiwangsa,” jelasnya dalam satu kenyataan
bagi menjelaskan laporan akhbar hari ini yang bertajuk ‘11 ekor Pak Belang berkeliaran di Pos Bihai ancam penduduk’.

Jabatan Perhilitan berkata pihaknya sentiasa memantau dan memberi taklimat kepada penduduk kampung dari semasa ke semasa berkenaan perjalanan operasi mengesan dan menangkap harimau belang serta langkah keselamatan yang perlu diambil ketika berada di luar kawasan rumah.

Katanya orang ramai perlu lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan negeri Kelantan melalui talian 011-59275985, talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas