Berita

Peluang Rayzam terbuka luas

RAYZAM masih berpeluang ke Olimpik.
- Diterbit 11 Mei 2020 3:01 AM MYT

KUALA LUMPUR – Penundaan Sukan Olimpik Tokyo ke tahun hadapan akibat penularan wabak Covid-19 membuka peluang jaguh 110 meter lari berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian untuk melayakkan diri ke temasya berprestij itu.

Mengakui perkara tersebut, Rayzam melihat penundaan ini memberi banyak masa kepadanya untuk membuat persediaan lebih baik sekali gus menyuntik keyakinan bagi melepasi kelayakan ke Tokyo nanti.

“Ini bermakna tempoh latihan akan menjadi lebih panjang dan saya boleh bersedia sepenuhnya bagi mendapatkan slot ke Tokyo.

“Dalam masa sama, memang menjadi impian saya untuk menyertai Sukan Olimpik atau memecahkan rekod saya sendiri sebelum bersara sebagai atlet olahraga,” katanya.

Atlet berusia 32 tahun yang memiliki catatan peribadi 13.67 saat bagi acara 110 meter berpagar ini perlu melepasi had kelayakan 13.32 saat bagi melayakkan diri ke temasya tersebut.

Sepanjang kariernya sebagai atlet olahraga, dia belum pernah berpeluang beraksi di Sukan Olimpik dan kejohanan terbesar yang pernah disertainya adalah Kejohanan Olahraga Dunia pada 2009 dan 2013.

Sebagai rekod, Rayzam memenangi pingat emas buat kontinjen negara di Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur dengan catatan 13.83 bagi acara 110 lari berpagar. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas