Berita

SUKMA 2024: ADAMAS harap sifar doping

ISU doping kembali menghantui sukan angkat berat negara selepas lima atlet didapati positif menggunakan bahan terlarang pada SUKMA XX MSN 2022.
- Diterbit 22 April 2024 3:46 PM MYT

AGENSI Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) menaruh harapan tinggi agar penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang bakal diadakan di Sarawak pada Ogos ini bebas daripada pencemaran kes doping atau penyalahgunaan bahan terlarang.

Menurut Pengarah ADAMAS, Azura Abidin, pihaknya telah menggesa agar kesemua negeri bertanding hadir secara telus dan bersih dalam temasya dwitahunan itu.

“Kami akan menjalankan ujian secara rawak terhadap sukan berpotensi tinggi dengan tumpuan pastinya terarah kepada atlet angkat berat yang sering terkait dengan isu berkenaan.

“Memang hasrat kami untuk melihat sifar doping SUKMA kali ini. Sarawak memang berhasrat menjadi penganjur paling berjaya jadi kami menggalakkan semua negeri datang dan bertanding secara bersih.

“Mesyuarat dalam jawatankuasa khas teknikal baru-baru ini setuju ADAMAS buat saringan khas atlet angkat berat sama macam di Kuala Lumpur (2022). Kita tidak boleh umum bila buat tapi pastinya sebelum SUKMA,” ujar beliau.

Dalam masa sama, Azura turut menjangkakan kira-kira 20 hingga 30 pegawai terlatih dikerahkan untuk mengawal selia kelancaran temasya itu.

Saingan SUKMA Kuala Lumpur 2022 menjadi tamparan hebat buat arena sukan negara apabila lima atlet angkat berat terjerat isu doping dengan tiga daripadanya menggunakan bahan terlarang iaitu metandienone, tebutaline dan oxymetholone.

Dua pemenang pingat acara angkat berat pada SUKMA 2022 pula disahkan positif bahan terlarang jenis anabolic androgenic steroid.

SUKMA 2024 dijadualkan berlangsung di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas