Berita

Covid-19: 70 kes baharu, satu kematian

- Diterbit 11 Mei 2020 9:38 AM MYT

PUTRAJAYA – Terdapat 70 kes baharu positif Covid-19 hari ini dengan 31 darinya membabitkan warga asing.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penambahan kes itu menjadikan jumlah keseluruhan positif Covid-19 di negara ini mencecah 6,726 kes.

Katanya, daripada 70 kes baharu yang dilaporkan hari ini, terdapat 13 kes import dan 57 kes penularan tempatan.

“Selain itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,504 kes.

“Setakat pukul 12 tengah hari tadi, sebanyak 88 kes dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah kumulatif pulih sebanyak 5,113 kes iaitu 76 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya dalam sidang akhbar harian hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini seramai 20 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, tujuh kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, terdapat pertambahan satu lagi kes kematian berkaitan Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 109 kes.

“Kes kematian ke-109 membabitkan lelaki Malaysia berumur 63 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis serta barah hati.

“Mangsa dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 8 Mei lalu dan disahkan meninggal dunia pada jam 5.15 pagi semalam,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas