Berita

Pendekatan tertumpu berhasil kawal Covid-19

DR NOOR HISHAM ABDULLAH
- Diterbit 10 Mei 2020 11:30 AM MYT

PUTRAJAYA – Pendekatan tertumpu yang diguna pakai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuatkan hasil apabila mampu mengenalpasti beberapa kumpulan sasar dalam usaha mengekang Covid-19.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga tengah hari tadi, sebanyak lapan kumpulan dikenal pasti.

Mereka adalah peserta perhimpunan tabligh di Seri Petaling dan kontak rapat, pelajar dan kakitangan madrasah yang berkait rapat perhimpunan itu serta rakyat Malaysia yang dikuarantin selepas pulang ke negara ini.

“Selain itu, KKM juga dapat mengenal pasti anggota kesihatan sendiri, penduduk di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD), golongan pasar borong Kuala Lumpur, pekerja tapak pembinaan di zon merah serta rumah warga emas.

“Susulan kejayaan mengesan golongan sasar ini, masyarakat tidak perlu khuatir dengan pengingkatan kes baharu kerana kaedah pelaksanaan ini dilihat berkesan.

“Kes-kes yang dikesan ini sememangnya diasingkan dan diberi rawatan di hospital bagi memastikan Covid-19 tidak terus menular dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam sidang akhbar harian hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham menyambut baik keputusan kerajaan melanjutkan empat minggu lagi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun depan seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang tadi.

Katanya, keputusan itu akan terus memberi ruang kepada kerajaan dalam memerangi penularan wabak ini sehingga ke tahap yang lebih terkawal sambil mengimbangi pembukaan sektor ekonomi secara berhati-hati.

“Tahap keberkesanan tindakan ini akan dinilai dari semasa ke semasa.

“KKM akan menggiatkan lagi usaha mengurangkan kes positif melalui pengesanan kes aktif dan pendekatan tertumpu iaitu pengesanan, penyaringan dan ujian ke atas kumpulan sasar yang berisiko tinggi.

“Tindakan-tindakan ini dapat dijalankan dengan lebih berkesan melalui pelaksanaan PKPB dan PKPD,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas