Berita

Pekerja asing putus pendapatan terpaksa mohon sumbangan guna media sosial

SOFIA bersama anak-anaknya.
- Diterbit 27 April 2020 1:30 PM MYT

LABUAN – Semenjak Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) dilaksanakan, sumber pendapatan warga asing di pulau ini terjejas hingga terpaksa ‘menebalkan muka’ meminta bantuan ihsan daripada masyarakat setempat.

Difahamkan, mereka yang merupakan pekerja buruh binaan tinggal di perumahan setinggan di kawasan Ganggarak Permai, di sini.

Sofia Angi, 20, berkata, dia terpaksa meminta bantuan makanan dan barang keperluan untuk dua orang anaknya yang masih kecil melalui laman sosial Facebook.

Dakwanya, dia sekeluarga tidak mendapat sebarang bantuan makanan hingga kini dan suaminya tidak menerima sebarang gaji daripada majikan semenjak PKP dilaksanakan.

“Susu dan lampin untuk anak saya pun sudah tidak ada. Saya meminta jasa baik masyarakat di Labuan agar dapat menolong kami sekeluarga yang terkesan akibat PKP ini,” katanya ketika dihubungi Wilayahku.

Sofia berkata, dia bersyukur ada individu yang tampil menghulurkan sumbangan barang makanan, susu dan lampin bayi hari ini.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana ada insan yang bermulia hati untuk membantu kami ketika dalam kesusahan.

“Saya dan suami mengucapkan ribuan terima kasih kepada individu itu kerana prihatin terhadap nasib yang menimpa kami,” katanya.

Rata-rata mereka amat memerlukan bantuan ihsan dari masyarakat di pulau ini untuk meneruskan kehidupan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas