Berita

Pelajar diwajib jalani saringan sebelum dibenar balik kampung

PROSES saringan dilakukan ke atas individu yang didapati mempunyai gejala Covid-19. Gambar hiasan
- Diterbit 27 April 2020 12:48 PM MYT

PUTRAJAYA – Semua penuntut institusi pengajian tinggi perlu menjalani saringan kesihatan di Pusat Kesihatan Universiti (PKU) sebelum dibenarkan pulang ke kampung halaman bermula malam ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penuntut institusi pendidikan tinggi awam, swasta, politeknik dan kolej komuniti itu juga dibenar memulakan pergerakan secara berperingkat

“Hasil kerjasama dan perbincangan di antara Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan KKM (Kementerian Kesihatan), satu garis panduan dibangunkan di mana ia merangkumi aspek kesihatan bagi penuntut yang ingin pulang ke kampung.

“PKU masing-masing akan membuat saringan bagi penuntut seperti suhu badan, gejala batuk, selesema atau kesukaran bernafas sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan,” katanya dalam sidang akhbar harian hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham, sepanjang perjalanan pulang pelajar dinasihatkan sentiasa mengikut langkah pencegahan dengan mengamalkan jarak sosial selamat sekurang-kurangnya satu meter daripada orang lain.

“Selain itu, mereka perlu menjaga kebersihan diri dengan kerap membasuh tangan dengan air dan sabun serta menggalakkan pemakaian alat penutup mulut dan hidung sepanjang perjalanan,” katanya.

Sementara itu, berkenaan sidang Parlimen pada 18 Mei depan, Dr Noor Hisham memaklumkan, wakil rakyat dan petugas perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum dibenarkan masuk.

Katanya, itu sebahagian norma baharu yang perlu dilakukan bagi bertujuan penularan pandemik itu.

“Bukan hanya di Parlimen, jika anda ke restoran atau institusi mana sekalipun akan ada ujian suhu badan. Mesti amalkan jarak sosial dan jaga kebersihan.

“Tidak dibenar berjabat tangan. Itu norma baharu yang harus diamalkan, tidak hanya untuk persidangan Dewan Rakyat tetapi semua mesti berlatih mengamalkannya,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas