Berita

290 petugas media terima sumbangan I-Hya Ramadhan YWP

ZAIZALNIZAM (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan I-Hya Ramadhan kepada Timbalan Pengarah Seksyen Berita Radio RTM, Suhaila Md. Zaini (tiga dari kiri) di Angkasapuri, Kuala Lumpur hari ini.
- Diterbit 27 April 2020 2:45 PM MYT

KUALA LUMPUR – Seramai 290 petugas media menerima sumbangan pek makanan berbuka puasa menerusi sistem i-Hya Ramadhan anjuran Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Zaizalnizam Zainun, juadah berbuka tersebut diedarkan kepada petugas di tujuh syarikat media bagi tempoh dua hari bermula hari ini.

“Alhamdulillah agihan juadah berbuka puasa itu semuanya berjalan dengan lancar.

“Setakat ini idea bersedekah secara online, i-Hya Ramadhan yang merupakan inisiatif  Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa mendapat sambutan amat menggalakkan.

“Melalui I-Hya Ramadhan, orang ramai atau syarikat korporat untuk meneruskan amalan bersedekah walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ” ujar beliau.

Kata beliau lagi, pihak yang berminat untuk menyalurkan bantuan dibenarkan untuk membuat tiga pilihan kaedah utama melalui sistem dalam talian tersebut iaitu sumbangan wang tunai, sumbangan pakej makanan dan sumbangan pilihan penyumbang.

“Pihak YWP akan membantu dari segi menyalurkan sumbangan atas keperluan dan berdasarkan kehendak pihak penderma.

“Kita berharap agar orang ramai dapat menggunakan peluang ini sebaik-baiknya untuk menyalurkan sumbangan sempena bulan Ramadan yang penuh berkah ini,” ujar Zaizalnizam.

Antara agensi media menerima sumbangan juadah berbuka puasa ialah Radio Televisyen Malaysia (RTM), Astro Awani, TV3, Bernama, Sinar Harian, Berita Harian dan Malaysian Gazette.

Sejak dilancarkan pada 22 April lalu, i-Hya Ramadhan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan melalui kaedah dalam talian itu.

Orang ramai yang berminat memberikan sumbangan melalui I-Hya Ramadhan boleh melayari laman web www.yayasanwp.org.myWILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas