Berita

Misi Gila: Penantian 183 hari penuh debaran ternoktah

KELUARGA Nadir Al-Nuri akhirnya berjaya disatukan semula selepas melalui episod genting ketika terperangkap di Gaza.
- Diterbit 19 April 2024 12:29 PM MYT

PENANTIAN panjang selama 183 hari berjaya dinoktahkan apabila isteri dan anak-anak yang sebelum ini terkandas di Semenanjung Gaza berjaya diselamatkan sebelum dihantar ke Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dalam hantaran di laman Facebook menyifatkan ‘Misi Gila’ yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai hampir mustahil apabila hanya memberi maklum balas ringkas dan mengaggap ia sebagai bahasa orang politik semata-mata.

“Saya bersama sahabat merangkap kekanda kami, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM), Dr Ahmad Sani Araby diberikan peluang bertemu watak utama misi menyelamat sebulan lepas di satu majlis di Shah Alam, beberapa hari sebelum beliau ke Berlin.

“Dalam ramainya orang, sempat saya maklumkan keluarga terkandas di Rafah. Beliau hanya sempat membelek kiriman kami, memberikan respon ringkas ‘saya akan bantu’ dan terus menaiki kenderaannya memecut ke majlis seterusnya,” katanya.

Beliau berkata hatinya mula luluh apabila mendengar jawapan balas daripada Perdana Menteri dan menganggap itu adalah bahasa orang politik semata-mata.

“Namun dalam surat saya, ada saya akhiri ayat dengan ‘Kepada Allah jualah kami berserah’. Saya langsung tawakal dan serahkan segalanya kepada Allah.

Bercerita lanjut, Nadir berkata sehari sebelum Aidilfitri, beliau dihubungi Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi yang merupakan watak penting yang mengusahakan misi ini.

“Sejak awal peperangan beliaulah yang kerap menjemput kami ke pejabatnya di Putrajaya dan selalu menghubungi kami bertanyakan keadaan keluarga dan perkembangan di Gaza.

“Kali ini nadanya berbeza, agak serius dan beliau memaklumkan kami untuk datang ke satu lokasi khas. Saya dan Dr Sani saja dibenarkan ke sana! Allahuakbar. Ada apa pula ni? Saat sampai ada kenderaan hitam menanti. Risau juga macam dalam movie,” katanya.

Katanya lagi, saat tiba dilokasi berkenaan, beliau terkejut apabila pintu kereta hitam itu dibuka, beliau diterpa anak yang sebelum ini hanya dapat dilihat menerusi panggilan video sahaja.

“Alangkah terkejutnya saya saat pintu dibuka, saya diterpa anakanda yang selalu hadir dalam mimpi sekian malam. Air mata seorang ayah sudah bertakung tak mampu menahan kerinduan.

“Saya sudah biasa melalui perang di Gaza, melihat kehilangan dan air mata serta cekalnya kehidupan. Tetapi misi ini saya katakan ‘Misi Gila’ kerana bukan mudah untuk dikeluarkan keluarga saya saat bedilan roket dan hentaman bom bertali-arus, malah ketegangan di sempadan juga berlanjutan.

“Namun secara senyap pemimpin negara menghubungi pihak sana ternyata diplomasi insani ini jauh lebih berkesan daripada kaedah yang lain,” katanya.

Jelasnya lagi, prosesnya cepat, teratur dan lancar walaupun penuh dengan 1001 cabaran tersirat dan kisahnya akan keluar satu demi satu tetapi tidak semua beliau berhak untuk kongsikan.

“Tetapi watak utama dalam ‘Misi Gila’ ini adalah Perdana Menteri kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.

“Suka beliau atau tidak, dalam soal Palestin umat perlukan satu ketumbukan. Palestin pernah bergantung kepada garangnya Saddam Hussein, kemudian lantangnya Erdogan. Kini tiba giliran kita dan yang boleh kita banggakan ialah ketegasan Malaysia dalam bersolidariti,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas