Advertorial

PEDNS 2027: 97 peratus tapak 5G berjaya dibangunkan dalam tempoh 18 bulan

- Diterbit 3 Februari 2024 10:00 AM MYT

NEGERI Sembilan berjaya membangunkan 225 tapak 5G sekali gus bakal menjadi pelengkap kepada Pelan Ekonomi Digital Negeri Sembilan 2027 (PEDNS 2027).

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata fasa permulaan bagi pelaksanaan rangkaian 5G di Negeri Sembilan telah bermula pada suku ketiga tahun 2022.

“Dalam tempoh kurang daripada 18 bulan sahaja, sebanyak 225 tapak 5G berjaya dibangunkan dalam fasa ini yang memberikan liputan rangkaian 5G di daerah Seremban, Port Dickson, serta beberapa kawasan utama bagi daerah-daerah lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas lawatan mengetuai delegasi Kerajaan Negeri Sembilan ke 5G Portal di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Aminuddin berkata sektor tumpuan Kerajaan Negeri Sembilan adalah dalam bidang perkhidmatan dan perindustrian serta pelancongan.

“Bagi sektor pertanian pula, kita akan bersama bina satu kemudahan kepada masyarakat supaya pertanian yang ada pada hari ini tidak hanya tertumpu kepada konvensional atau tradisi seperti sebelum ini. Dalam masa yang sama supaya ia dapat diperbaharui kepada 5G kerana kita lihat telah ada beberapa pemain atau petani moden yang menggunakan pertanian pintar ini,” katanya.

Jelas Aminuddin, menerusi teknologi 5G, pihaknya yakin ia akan dipercepatkan seperti di kawasan Kuala Lumpur.

“Dalam tempoh dua tahun ia telah mencapai matlamat liputan 5G sehingga 80 peratus di kawasan yang diminta oleh Kerajaan Persekutuan dan dengan adanya perkara tersebut, saya yakin kerajaan negeri mampu membuat perubahan dalam sektor ekonomi digital,” katanya.

Aminuddin berkata melalui perkembagan tersebut, ia membuktikan bahawa kerajaan negeri bertindak proaktif bagi memastikan Negeri Sembilan tidak ketinggalan dalam mendapatkan penggunaan teknologi terkini kepada rakyat dan pihak berkepentingan.

“Pelaksanaan liputan Internet termasuk rangkaian 5G ini juga dijangka akan diperluaskan di beberapa kawasan-kawasan berpenduduk secara berperingkat.

“Selain itu, penyediaan liputan jalur lebar Internet di kawasan berpenduduk di Negeri Sembilan juga sedang dipergiatkan melalui pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Setakat ini, liputan jalur lebar mudah alih 4G di kawasan berpenduduk di Negeri Sembilan telahpun mencapai sebanyak 98.34 peratus,” katanya.

Beliau turut menyatakan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak MCMC, Digital Nasional Berhad (DNB) dan penyedia perkhidmatan yang menjadikan Negeri Sembilan sebagai hub pelaburan ekonomi bagi sektor telekomunikasi.

Dalam lawatan tersebut, Delegasi Kerajaan Negeri Sembilan yang turut di hadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan EXCO Kerajaan Negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital, Datuk Mohd Faizal Ramli diberi taklimat mengenai kemajuan pembangunan infrastruktur liputan 5G termasuklah peratusan kejayaan yang berjaya diraih sejak ia mula dilaksanakan.

Delegasi tersebut turut dibawa melawat ke beberapa bahagian pameran bagi memberikan pengalaman dan pengetahun mengenai teknologi 5G yang merangkumi urusan harian yang mampu bertunjangkan digital demi meningkatkan keupayaan Malaysia sebagai negara maju.

Lawatan kerja tersebut merupakan inisiatif daripada pihak MCMC dan DNB bagi memperkukuhkan jalinan strategik bersama kerajaan negeri dalam pembangunan rangkaian 5G khususnya di Negeri Sembilan.

Ia juga selaras dengan pengumuman Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada awal Januari lalu bahawa pelaksanaan rangkaian 5G nasional telah mencapai sasaran 80.2 peratus kawasan berpenduduk (COPA) setakat 31 Disember 2023.

Sokongan Kerajaan Negeri Sembilan dalam memudahcara pelaksanaan rangkaian 5G juga antara faktor yang telah menyumbang kepada kejayaan aspirasi kerajaan dalam mencapai sasaran COPA nasional.

Selain daripada akses kepada liputan rangkaian 5G, peratusan penggunaan rangkaian 5G di Malaysia juga masih lagi berada di tahap yang rendah (bawah 10 peratus) dan pihak kerajaan juga telah memperkenalkan pakej 5G Rahmah bagi menggalakkan pengguna beralih kepada rangkaian 5G dengan mendapatkan peranti 5G dengan harga hanya RM240.

Pembukaan Pusat Pengalaman 5G DNB atau My5G Portal juga merupakan salah satu inisiatif bagi meningkatkan kefahaman dan pengetahuan mengenai manfaat teknologi 5G yang memfokuskan kepada industri perusahaan, operator, agensi kerajaan dan pengguna, orang awam untuk mendalami atau mengalami sendiri demonstrasi peranti yang berkonsepkan teknologi 5G yang disediakan di pusat tersebut. – WILAYAHKU

  

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas