Artikel

Apabila rumah awam digadai!

- Diterbit 10 Mei 2024 9:20 AM MYT

LANTARAN tiada tempat berlindung, peluang diberi untuk menyewa atau membeli rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau Perumahan Awam (PA) di Kuala Lumpur dengan kadar sewa atau harga jualan yang sangat berpatutan.

Kadar sewa PPR atau PA hanya RM124 sebulan. Sangat murah. Jika di kawasan perumahan biasa jangan harap boleh menikmati sewa serendah itu untuk satu unit rumah. Untuk sewa satu bilik pun tidak dapat.

Ini usaha dilakukan oleh kerajaan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membantu warga kota khususnya yang tidak mempunyai rumah.

Sayangnya sikap prihatin kerajaan dan DBKL ini disalah guna oleh segelintir mereka yang menyewa atau membeli rumah awam DBKL. Peraturan jelas iaitu unit yang disewa atau dibeli hanya boleh dihuni oleh yang berdaftar dengan DBKL.

Rumah yang disewa atau dibeli tidak boleh sama sekali disewakan pula kepada orang lain. Tindakan tegas, termasuk mengusir, boleh diambil terhadap mereka yang didapati melanggar peraturan berkenaan.

Tetapi ini yang berlaku sekarang. Terdapat kelompok yang tidak pedulikan peraturan dengan menyewakan unit yang mereka sewa kepada orang lain untuk mendapat untung lebih besar. Ertinya sewa atas sewa. Kegiatan ini dikatakan semakin menjadi-jadi.

Mana tidak untung jika sewa satu unit hanya RM124 sebulan tetapi menyewakan kepada orang lain, terutama warga asing, dengan lebih mahal. Memetik Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) DBKL, Ismail Sakirin, kadar ini antara RM600 hingga RM1,200, bergantung kepada lokasi.

Kawan-kawan Kedai Kopi kesal kenapa penyewa asal sanggup mengambil risiko menyewakan unit. Mereka hanya mahu mengejar untung.

Nasihat kawan-kawan Kedai Kopi kepada penyewa asal, hargailah usaha kerajaan dan DBKL memberi kediaman untuk keluarga. Usah tamak mencari untung segera. Jangan apabila diambil tindakan nanti baharu hendak menyesal.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas