Selebriti

Jangan kita berpecah – Shukri Yahaya

- Diterbit 10 Mei 2024 12:24 PM MYT

PELAKON drama bersiri 7 Hari Mencintaimu, Shukri Yahaya menegaskan tidak ada untungnya jika saling bergaduh sesama sendiri hanya kerana tidak sependapat dalam fahaman politik.

Bagi pelakon ini, perbezaan pendapat adalah lumrah dalam kehidupan yang tidak seharusnya dijadikan ‘kudis’ dalam perpaduan.

“Berbeza pendapat itu perkara biasa. Dalam keluarga pun, kita adik-beradik pun ada pendapat berbeza. Perbezaan itu hanyalah pendapat, tetapi tidaklah sampai putus hubungan.

“Begitu juga kita berbeza pendapat dalam media sosial mengenai apa sahaja isu. Kenapa sampai nak bergaduh atau ‘berperang’ dalam platform itu yang akan disaksikan ramai netizen lain.

“Jangan kita berpecah hanya kerana perbezaan fahaman, sebaliknya, kita mesti terus memperkukuh hubungan silaturahim kerana perbalahan atau tiada persefahaman tidak boleh menyelesaikan apa-apa masalah,” ujarnya.

Tambahnya dia juga tidak bersetuju dengan pendapat segelintir netizen yang memandang remeh terhadap pergaduhan dalam media sosial.

“Tak kisahlah secara berhadapan atau dalam media sosial, adab itu kena jaga. Bahasa itu melambangkan siapa kita.

“Sebenarnya tulisan atau komen dalam media sosial itu lebih bahaya kerana boleh mengundang fitnah sekali gus menimbulkan pandangan yang negatif,” ujarnya.

Katanya, tidak salah untuk menegur atau memberi kritikan membina kerana teguran itu penting.

“Perlu saling menegur dan memberi nasihat. Namun biarlah cara yang betul. Ada adabnya kalau nak menegur. Mengkritik dengan cara beradab secara tak langsung menunjukkan kita sesama manusia mahukan yang terbaik,” tambahnya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas