Selebriti

Hentikan perbalahan media sosial – Sharifah Rose

- Diterbit 10 Mei 2024 12:28 PM MYT

BAGI pelakon Sharifah Rose sesiapa sahaja yang berbeza pendapat diharapkan tidak membuat provokasi dalam media sosial kerana platform tersebut perlu digunakan secara bijak.

“Apa yang kita boleh lihat sekarang ialah perang pendapat dalam pelbagai platform media sosial. Apa sahaja isu yang dikupas, mustahillah untuk semua orang mempunyai pendapat yang sama.

“Perbezaan pendapat itu perkara biasa. Janganlah ada yang cuba membuat provokasi sehingga ia menjadi perbalahan. Kalau boleh hentikan kerana ia tidak memberi apa-apa faedah pun.

“Jangan ada rasa aku menang sebab boleh berperang sesama sendiri mengeluarkan pendapat. Hakikatnya, tiada apa pun yang dapat dimanfaatkan.

“Perbuatan sia-sia ini hanya menjejaskan hubungan seterusnya mengancam perpaduan dalam negara yang telah sekian lama terbina,” katanya.

Rose juga berharap masyarakat lebih memikirkan cara untuk meningkatkan prestasi diri dan sentiasa positif dalam apa jua keadaan.

“Dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan membuatkan ramai terjejas. Rasanya lebih baik berusaha memperbaiki kehidupan daripada menimbulkan provokasi dalam media sosial.

“Kalau ada isu yang memerlukan pendapat kita sebagai netizen, tidak salah untuk berbuat demikian tapi biarlah komen yang membina bukannya menghina atau menimbulkan perbalahan,” ujarnya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas