Berita

Jemaah Menteri bincang isu pembangunan berlebihan – Zaliha

Dr. Zaliha Mustafa. Kredit: BERNAMA
- Diterbit 10 Mei 2024 8:30 AM MYT

MASALAH pembangunan berlebihan melibatkan kekurangan infrastruktur sokongan di satu-satu kawasan pembangunan mendapat perhatian dan telah dibincangkan di peringkat Mesyuarat Jemaah Menteri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata setakat ini pendirian kerajaan adalah memastikan setiap projek pembangunan yang telah diberikan kebenaran Perintah Pembangunan (DO) perlu diselaraskan dengan infrastruktur yang sedia ada di kawasan itu.

“Menerusi setiap pembangunan yang btelah diluluskan ia perlu dan mesti mehngambil kira isu kesesakan jalan raya dan parkir selain itu, kelulusan itu perlu meneliti keperluan terhadap infrastruktur sokongan seperti institusi pendidikan, kemudahan kesihatan yang turut diambil kira,” katanya kepada Wilayahku selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya anjuran Yayasan Wilayah Persekutuan di ibu negara baru-baru ini.

Zaliha berkata Kuala Lumpur kini turut menghadapi masalah pembangunan yang telah lama dan perlu distruktur semula memandangkan ia telah menjangkau lebih 50 tahun.

“Dalam keadaan tersebut, Kuala Lumpur perlu distrukturkan semula kecuali jika ia dibangunkan semula. Terdapat kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti untuk program pembangunan semula, namun projek tersebut memerlukan belanja yang besar dan membabitkan proses yang lama.

“Jadi untuk untuk jangka masa singkat dalam menyelesaikan masalah kesdesakan jalan raya dan parkir, ia sangat mencabar namun tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak dilaksanakan,” katanya.

Berhubung permintaan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan yang mewakili Ahli-Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan kepada mereka mengenai pra kelulusan DO, Zaliha berkata mereka telah mempunyai dua mesyuarat berbeza yang diadakan berkala bersama menteri dan Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk mengemukakan aduan mengenai apa jua masalah dan pembangunan di dalam kawasan yang diwakili.

“Untuk Mesyuarat Majlis Menteri Wilayah Persekutuan, ia diadakan pada setiap empat bulan bersama dengan menteri dan perbincangannya berkisar kepada isu dasar dan ia hanya boleh diselesaikan melalui peringkat Menteri Wilayah Persekutuan.

“Mesyuarat Konsultasi Datuk Bandar Kuala Lumpur dijadualkan setiap bulan dan Ahli Parlimen atau wakilnya dijemput ke mesyuarat berkenaan bagi mengajukan sebarang masalah berkait dengan kemudahan awam di kawasan yang diwakili mereka,” katanya

Dalam pada itu, Zaliha berkata sesi pendengaran awam selama dua bulan setengah berhubung  Deraf Pelan Tempatan Kuala Lumpur (PTKL) 2040 yang terbuka kepada semua pemegang taruh di Kuala Lumpur melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti persatuan penduduk, orang perseorangan dan organisasi lain telahpun tamat.

“Dalam tempoh tersebut, DBKL menerima lebih 10,300 jumlah aduan, teguran dan input untuk penelitian terhadap Deraf PTKL 2040.

“Sekarang ini tiba masa untuk jawatankuasa khas yang terdiri daripada pakar-pakar dan profesional seramai 35 orang untuk meneliti setiap input atau komen atau dapatan daripada sesi pendengaran awam itu tadi.

“Apapun tentang pembangunan ini ia sangat bergantung kepada pelan tindakan yang kita gariskan untuk tempoh 20 tahun akan datang,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas