Advertorial

Bentuk profesionalisme pengamal media

- Diterbit 19 Januari 2024 12:30 PM MYT

DUNIA kewartawanan pada masa kini berdepan dengan cabaran tersendiri berikutan amalan dasar langit terbuka seiring dengan era globalisasi dekad ini.

Persaingan sengit dalam era digitalisasi serta peningkatan wartawan warga (citizen journalist) yang menyebarkan informasi tanpa kawalan menyebabkan pelbagai implikasi termasuklah dari sudut perundangan dan etika yang telah menyumbang banyak perkara negatif.

Berikutan itu, tugas dan tanggungjawab wartawan pada masa kini semestinya berat disebabkan perlu melaporkan sesuatu berita dengan pematuhan kepada etika dan pada masa sama perlu bersaing dengan wartawan warga yang tidak terikat kepada perkara tersebut dan peraturan tertentu sehingga menyebabkan kegusaran sesetengah pihak.

Menyedari kepada masalah tersebut, Kelab Akhbar Kebangsaan Malaysia (NPC) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menganjurkan siri latihan profesionalnya dalam usaha untuk membentuk dan meningkatkan kepakaran sekali gus membentuk profesionalisme pengamal media negara ini.

Menerusi latihan siri 1 yang lalu, lebih 40 kakitangan media dan pelajar sekolah kewartawanan mempelajari cara memanfaatkan data, antara lain, dalam Siri Pembangunan Profesional (PDS) NPC pertama yang diadakan di Dorsett Putrajaya.

Salah satu modul program sehari itu termasuk analisis data jurang perbezaan antara perbincangan dalam kalangan kementerian dan menteri mengenai pelbagai topik, dengan tumpuan khusus kepada Malaysia Madani dan keupayaannya untuk mengukuhkan pertumbuhan ekonomi. Penyelidikan telah dijalankan oleh Dataxet Nama dengan analisis tambahan oleh Pusat Pengurusan Krisis.

Analisis memperoleh data media oleh Dataxet Nama dari minggu pertama Aparil hingga minggu pertama November 2023 telah menunjukkan kepada peserta mengenai lima kementerian teratas yang merujuk kepada konsep Malaysia Madani iaitu Kementerian Pendidikan, Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Komunikasi dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Melalui kajian yang dijalankan, Kementerian Pendidikan mempunyai kira-kira 3,146 sebutan dengan 46.8 peratus berkaitan topik pertumbuhan ekonomi di media sosial dan Kementerian Kewangan dilihat melalui 2,806 berita dengan 64.1peratus berkaitan dengan pertumbuhan ekonomi negara.

Bagi Kementerian Kesihatan dan Kementerian Komunikasi, masing-masing mencatatkan 2,668 dan 1,536 sebutan berita dengan 36.3 dan 68.8 peratus ­­masing-masing memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi.

Selanjutnya, menerusi data yang sama, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memperolehi 1,327 sebutan berita dengan 73.8 peratus berkaitan pertumbuhan ekonomi.

Laporan itu merumuskan bahawa walaupun terdapat tumpuan yang ketara terhadap pertumbuhan ekonomi, terdapat ruang untuk lebih banyak penglibatan media mengenai konsep dan inisiatif Madani.

Dalam modul 1 bertajuk ‘Cracking the code: A Practical Guide to Self-Regulation of Content’, peserta turut didedahkan terhadap beberapa isu dan antara perkara yang disentuh dalam seminar tersebut adalah kepentingan penyuntingan gambar dalam cetakan serta paparan visual yang tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

Menerusi aduan yang direkodkan dan tindakan yang diambil oleh Biro Aduan, agensi yang berkenaan telah menjalankan siasatan berikutan penggunaan gambar dan visual yang jelas telah melanggar etika serta menimbulkan kegusaran kepada keluarga mangsa.

SINDIKET PENIPUAN

Selain itu, menerusi pembentangan daripada wakil MCMC yang memperlihatkan beberapa operasi telah dijalankan bagi memastikan tahap keselamatan pengguna Internet dipelihara termasuklah merangka pelbagai strategi dalam menangani sindiket penipuan Internet serta pemantauan penggunaan sim yang didaftarkan menerusi akaun antarabangsa.

Sementara itu, Presiden NPC, Datuk Ahirudin Attan berkata wartawan perlu diperkasakan dengan data yang mengukuhkan laporan mereka.
“Penyelidikan seperti ini, yang menggunakan teknologi terkini, bersama dengan pengetahuan mendalam tentang topik yang sedang berjalan, akan membantu media untuk mengukuhkan kepentingan cerita mereka.

“Visi Kelab Akhbar Kebangsaan Malaysia adalah untuk melihat industri media cergas yang boleh terus memainkan peranan aktif dalam masa depan pembangunan negara.

“Kami bersyukur dapat bekerjasama dengan rakan kongsi yang kuat dan inovatif untuk NPC PDS, termasuk SKMM, Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Pusat Pengurusan Krisis, Dataxet Nama dan Telum Media.

“Kami juga mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada penaja korporat kami atas sokongan berterusan mereka, iaitu Maxis Berhad, Huawei Malaysia, Cheffaro by Eng Sheng Sdn Bhd, Blackmores (Malaysia) Sdn Bhd, The Gilded Lion Antiques & Art Gallery, West Coast Expressway, dan Telekom Malaysia Berhad,” kata Ahirudin.

Jurulatih yang terlibat dalam PDS NPC pertama ialah Ketua Jabatan Siasatan MCMC, Akmal Hamdy Baharudin; Pengarah Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Content Forum), Mediha Mahmood; Pengurus Kanan Forum Kandungan, Mawar Abd Latiff; Pengurus Forum Kandungan, Ahmad Fazlin Abu Kassim; Pengasas Pusat Pengurusan Krisis, Nordin Abdullah; Penerbit Bernama TV Gerard Ratnam; dan Pengarah Urusan Dataxet, Chris Seto. – WILAYAHKU

Gambar:

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas