Selebriti

Islam anjur berkasih sayang – Aiman Tino

- Diterbit 10 Mei 2024 12:22 PM MYT

PENYANYI Aiman Tino merupakan antara artis yang sentiasa mengingatkan peminat atau netizen dalam media sosial agar sentiasa berpesan kepada kebaikan.

Bagi pelantun lagu Ku Rela Dibenci ini, peperangan dalam media sosial hanya merugikan dan boleh mengakibatkan terhakisnya nilai perpaduan yang menjadi tunggak negara.

“Bukan sahaja kerajaan, malah agama Islam amat menuntut agar menjaga hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia tanpa mengira kaum.

“Untuk menjaga perpaduan ini, kita perlu pelihara hubungan baik bagi menjamin keharmonian dalam hidup bermasyarakat. Nabi Muhammad SAW banyak memberi teladan dalam bab menjaga hubungan hingga orang yang membenci Islam juga mengakui keperibadian Baginda dalam melayani mereka ketika menyebarkan ajaran Islam.

“Pendek kata, apabila sebut pasal perpaduan ini, Islam menekankan kasih sayang dan perdamaian. Tidak kiralah secara fizikal atau dalam media sosial, kita harus jaga perpaduan.

“Seperti mana yang kita semua tahu, ada yang suka mengecam atau menimbulkan provokasi sehingga boleh menggugat hubungan sesama kita. Walaupun kita tak tahu siapakah orang atau netizen di sebalik nama dalam media sosial itu, tetapi apa yang ditulis boleh memberi kesan kepada yang membaca,” katanya.

Tambahnya tidak ada manusia yang sempurna, baik buruk komen atau pendapat dalam media sosial harus diraikan serta diterima dengan berlapang dada.

“Agama kita mengajar agar berlapang dada dan belajar menerima kenyataan dalam semua perkara termasuk dalam berpolitik hingga tidak boleh terlalu berlebihan dan lupa adab sebagai Muslim.

“Adab yang saya maksudkan ini termasuklah ketika menggunakan media sosial. Perbezaan pendapat lumrah dalam kehidupan kerana Allah SWT menciptakan manusia dengan akal fikiran berbeza.

“Saya berharap mereka yang mempunyai perbezaan pendapat atau fahaman politik, ketepikan. Biar kita bersatu demi negara,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas