Advertorial

2,000 pengunjung teroka bisnes digital

- Diterbit 26 Februari 2024 7:10 PM MYT

LEBIH 2,000 warga Pulau Pinang membanjiri Karnival Kesalinghubungan dan Pembangunan Usahawan Pulau Pinang yang diadakan di Politeknik Seberang Perai pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Karnival yang berlangsung selama dua hari itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertujuan untuk memperkasa kesalinghubungan dan mencipta peluang penjanaan pendapatan untuk usahawan tempatan bagi meningkatkan taraf sosioekonomi melalui platform dalam talian.

Karnival anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dilaksanakan bagi menghebahkan inisatif-inisiatif Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri khususnya berkenaan dengan latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diberi penekanan disamping latihan keusahawanan dalam talian secara percuma di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) bagi membantu golongan rentan keluar dari kepompong kemiskinan.

Menurusi karnival tersebut ia merupakan cerminan keseriusan kerajaan untuk mencipta peluang penjanaan pendapatan khususnya buat golongan belia, yang seterusnya dapat meningkatkan taraf sosioekonomi mereka menerusi bidang keusahawanan.

Perdana Menteri yang turut mengumumkan untuk menambah kira-kira 186 PEDi di seluruh negara secara berperingkat dalam tempoh dua tahun berharap agar institusi itu dapat berfungsi sebagai pusat sehenti penggunaan jalur lebar bagi kawasan kurang mendapat perhatian.

Ia juga merupakan ikhtiar kerajaan untuk mendepani masalah kesenjangan digital serta pendapatan menerusi program transformasi digital yang merupakan agenda penting dalam usaha menterjemah wawasan kerangka Ekonomi MADANI.

Menerusi PEDi, tahap penguasaan ilmu dalam bidang baharu digarap dan dikuasai agar masyarakat tidak ketinggalan dalam arus perubahan yang kini menjadikan digital sebagai ‘gerbang’ kepada kejayaan.

Antara komponen penting program tersebut adalah sesi perkongsian bersama pakar-pakar yang terlatih yang menyasarkan penyertaan daripada kalangan pelajar politeknik, kolej komuniti, institut latihan lain dan tahfiz dari kawasan sekitar.

Sesi perkongsian tersebut telah disusun bagi memberi pendedahan dan fokus berkaitan asas keusahawanan dalam talian. MCMC amat komited dalam membantu usahawan untuk meneroka peluang perniagaan dalam talian yang kian menjadi keutamaan dalam ekonomi digital yang berkembang pesat menerusi Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK).

Sebanyak 30 reruai disediakan sepanjang karnival berlangsung dan MCMC telah membawa beberapa rakan strategik di bawah PUPUK seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Shopee Mobile Malaysia Sdn Bhd untuk turut serta membantu usahawan dan bakal usahawan.

Turut dijemput adalah Perbadanan Tabung Usahawan Nasional (TEKUN) dan TikTok Shop untuk menyertai reruai bagi memberi maklumat kepada para pengunjung tentang peluang dan platform perniagaan yang ditawarkan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi MCMC, Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus berkata bengkel yang dianjurkan bertujuan memperkasa kesalinghubungan dan mencipta peluang penjanaan pendapatan untuk usahawan tempatan bagi meningkatkan taraf sosioekonomi melalui platform dalam talian.

“Bengkel pada hari ini disasarkan kepada pelajar Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Tahfiz, namun saya difahamkan terdapat juga penyertaan daripada Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang, serta Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM),” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan Bengkel Pengukuhan dan Kesalinghubungan Usahawan Pulau Pinang pada hari kedua karnival berkenaan.

Ujar Mohd Ali Hanafiah, Kerajaan MADANI telah meletakkan aspirasi untuk memastikan keseimbangan sosioekonomi dengan memberi pendedahan kepada komuniti setempat berkenaan kemahiran digital tanpa mengira kedudukan sosial mahupun geografi.

“Aspirasi ini mampu dicapai dengan peningkatan pendapatan rakyat sekali gus menyumbang ke arah usaha kerajaan dalam menoktahkan kemiskinan tegar dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, usahawan yang telah dibimbing oleh PEDi ramai telah menjalankan perniagaan berasaskan kemahiran TVET, antaranya adalah penghasilan produk bakeri, reka bentuk grafik,pertukangan, hospitaliti, fesyen, dan sebagainya.

“Sebagai contoh, usahawan PEDi yang turut membuka jualan pada karnival hari ini adalah Puan Rosmaria dari PEDi Taman Prestij 11 dengan produk kraftangan seperti keychain dan juga Puan Siti Noorhidayah dari PEDi Taman Gelugor Indah bersama produk jahitan beliau iaitu set tilam bayi,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas