WK2

PBNR 2022aktiviti wajib penggemar sukan berbasikal

ANTARA gelagat peserta PBNR 2022 sebelum memulakan kayuhan.
- Diterbit 18 Jun 2022 12:00 PM MYT

ACARA tahunan Putrajaya Bridge Night Ride 2022 (PBNR 2022) kali ke-6 yang terhenti selama dua tahun akibat pandemik COVID-19 kini kembali berlangsung meriah serta mendapat sambutan menggalakkan daripada penggemar sukan berbasikal.

PBNR merupakan acara berbasikal santai pada waktu malam yang terbesar diadakan di Putrajaya anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan kerjasama Red Adventure.

Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud berkata antara tarikan utama PBNR adalah peserta berpeluang mengeksplorasi jambatan-jambatan unik yang dihiasi cahaya berwarna-warni khususnya pada waktu malam.

“Acara signature ini mula dianjurkan pada tahun 2015 dan antara yang ditunggu-tunggu oleh peminat berbasikal dari seluruh pelosok tanah air di mana setiap tahun penyertaan adalah sehingga 4,000 peserta dari seluruh negara.

“Tahun ini, penyertaannya adalah seramai 2,000 peserta melibatkan penggiat pelancongan, media, selebriti dan orang awam dengan kayuhan sejauh 5 kilometer (km), 10 km dan 25 km di laluan tarmac sekitar Putrajaya,” katanya sejurus sesi Pelepasan Kayuhan Basikal di Dataran Putrajaya, Presint 3 baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Saraya Abi, Pengurusan Tertinggu MOTAC dan Naib-naib Presiden Putrajaya.

Fadlun berkata antara objektif penganjuran adalah bagi menyokong usaha merancakkan industri pelancongan domestik serta menggalakkan rakyat Malaysia melancong dalam acara-acara sport tourism.

“Kayuhan bermula di jalan utama berhadapan Palace of Justice (PoJ) melalui lokasi-lokasi penting yang terdiri dari bangunan-bangunan pentadbiran kerajaan, struktur ikonik, taman-taman, pusat rekreasi, mercu-mercu tanda di Putrajaya termasuk lima buah jambatan seperti Jambatan Seri Gemilang, Jambatan Putra, Jambatan Seri Bestari dan lain-lain lagi.

“Ia sekali gus dapat mempromosi laluan-laluan basikal di Putrajaya bagi menggalakkan lebih banyak aktiviti kayuhan malam di mana laluan khas yang disediakan sangat selamat untuk peminat sukan berbasikal,” ujarnya itu antara inisiatif PPj untuk menjadikan Putrajaya sebagai sebuah bandar mesra sukan berbasikal (Bikeable City).

Dalam pada itu, Fadlun turut berkongsi pihaknya juga telah merancang beberapa program lain dalam menjadikan Putrajaya sebagai sebuah destinasi pelancongan dan bukan sahaja sebagai sebuat pusat pentadbiran.

“Antara program lain yang akan diadakan selepas ini adalah Putrajaya Night Fun Run di mana kita menyasarkan lebih banyak penglibatan dari penduduk Putrajaya dan juga kawasan sekitar.

“Selain itu, Floria Diraja Putrajaya turut akan diadakan kembali pada Ogos ini di mana kita menjangkakan penyertaan dari banyak agensi.

“Tahun ini kita tampilkan sedikit kelainan dengan bertemakan orkid, di siang hari pengunjung akan disajikan dengan taman bunga manakala pada waktu malam ia akan menjadi garden light,” jelasnya sambil menambah bagi pelancongan domestik, PPj akan memberi tumpuan kepada mines dan eko untuk dijadikan sebagai pusat penerokaan eko pelancongan kerana Putrajaya mempunyai Taman Wetland yang dikelilingi 40 peratus kawasan tumbuhan hijau.

Tambahnya lagi pada hujung tahun ini aktiviti yang sinonim dengan bandar Putrajaya iaitu Festival Lampu akan turut diadakan.

“Di samping itu, bagi setiap dua minggu kita akan menutup sebahagian Persiaran Perdana ini untuk kita membenarkan aktiviti perniagaan dan kita akan lakukan konsep car free night di mana lebih banyak aktiviti akan dibenarkan bagi membolehkan orang ramai datang beriadah, berbasikal atau berjoging,” ujarnya yang mengharapkan Dataran Putrajaya dapat menarik lebih ramai Keluarga Malaysia untuk datang beriadah di Putrajaya.

Bertepatan dengan hasrat Putrajaya menjadi Bandar Mesra Belia dan Mesra Keluarga, Fadlun berkata PPj akan berusaha menyediakan lebih banyak kemudahan kepada warganya dan juga pelancong. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas