Berita

PBAKL 2022 kembali rancakkan industri buku

PESTA Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 akan berlangsung pada 3 hingga 12 Jun ini bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 10 pagi hingga 10 malam.
- Diterbit 28 Mei 2022 6:00 AM MYT

BANDAR raya Kuala Lumpur telah diiktiraf sebagai Ibu Kota Buku Dunia pada tahun 2020 (KLWBC 2020) oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang menyaksikan Malangnya ketika itu, wabak pandemik COVID-19 melanda sehingga kerajaan terpaksa menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan membatalkan semua aktiviti termasuklah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL).

Setelah dua tahun berlalu, PBAKL bakal dianjurkan semula pada 3 Jun hingga 12 Jun di Pusat Perdagangan Antarabangsa Kuala Lumpur (WTCKL) menjadi berita gembira kepada ‘ulat buku’ yang sering menantikan acara tahunan itu sejak dua tahun lalu.

Bagi ‘orang kuatnya’ yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2022, Mohd Khair Ngadiron nyata teruja dan mahu penganjuran PBAKL 2022 ini menjadi acara gilang-gemilang sekali gus dapat membantu industri perbukuan yang sebelum ini turut terjejas.

Beliau juga berkongsi pandangan dan aspirasi untuk membangunkan industri perbukuan yang sudah sebati dengannya ke peringkat tertinggi kepada Wartawan Wilayahku, HAZIRAH HALIM dan jurufoto MUHAMMAD SYUQQREE MOHD DAIN di Cyberjaya baru-baru ini.

MOHD KHAIR NGADIRON

WILAYAHKU: Boleh tuan ceritakan lebih lanjut tentang penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) tahun ini?
MOHD KHAIR: Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 atau PBAKL 2022 akan diadakan kembali secara fizikal buat kali ke-39 pada 3 hingga 12 Jun ini
di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur (WTC) bermula 10 pagi hingga 10 malam. Sepanjang tempoh dua tahun pandemik COVID-19, penganjuran PBAKL
2022 tetap diteruskan tetapi secara online di mana pada ketika itu ia melibatkan lebih 60 pempamer menjual koleksi-koleksi karya mereka kepada orang ramai. Menariknya, setelah dua tahun tidak dapat menjayakan secara bersemuka, kali ini ia mensasarkan sejumlah 500 reruai dengan melibatkan lebih daripada
154 pempamer tempatan dan luar negara. Selain itu, PBAKL 2022 akan menjemput negeri Selangor sebagai negara tamu yang akan memberi peluang
kepada pengunjung untuk menerokai produk terkini termasuk penerbitan yang diterbitkan oleh kerajaan negeri.

WILAYAHKU: Berapakah jumlah pempamer dan negara yang akan terlibat dalam PBAKL 2022?
MOHD KHAIR: PBAKL 2022 menerima lebih daripada 154 pempamer tempatan dan luar negara. Jumlah ini agak minimum jika dibandingkan dengan penganjurannya pada tahun-tahun sebelum pandemik kerana mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan kesesakan antara pengunjung dan pempamer. Bagi negara
terlibat pula, kita telah mendapat penyertaan dari negara Turki dan Singapura di mana mereka percaya bahawa Malaysia adalah negara selamat untuk menjalankan
perniagaan dengannya sekali gus mahu membantu Malaysia dalam usaha merancakkan semula ekonomi terutama dalam sektor industri buku.

WILAYAHKU: Berapakah anggaran jumlah pengunjung untuk PBAKL 2022?
MOHD KHAIR: Sasaran pengunjung pada tahun ini ialah seramai 500 ribu orang sepanjang 10 hari penganjurannya. Walau bagaimanapun, kami menjangkakan jumlah ini akan melebihi sasaran berikutan penangguhan pesta buku secara bersemuka sejak dua tahun lalu. Penangguhan ini diramalkan sebagai faktor kepada pertambahan bilangan pengunjung untuk melakukan aktiviti perbukuan. Harus diingatkan bahawa PBAKL merupakan satu-satunya pesta buku antarabangsa yang
diiktiraf dunia oleh UNESCO. Melalui jumlah pengunjung hadir ke PBAKL membuktikan bahawa Malaysia merupakan negara buku dan mempunyai fokus tinggi kepada pendidikan serta budaya membaca. Sebagai makluman, pengunjung PBAKL paling ramai ialah pada tahun 2015 dengan catatan seramai 2.7 juta pengunjung diikuti pada tahun 2014 seramai 2.5 juta dan kali terakhir penganjuran iaitu pada tahun 2019 seramai 570 ribu pengunjung.

WILAYAHKU: Apakah kelainan penganjuran pesta buku tahun ini dengan tahun sebelumnya ?
MOHD KHAIR: Kelainannya adalah selepas 38 kali PBAKL dianjurkan, buat julung kalinya ia akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 4 Jun pukul 12 tengah hari di WTC. Kedua, walaupun kita mengadakan pesta buku secara fizikal, tetapi PBAKL 2022 turut diadakan secara dalam talian (online) serentak cuma berlangsung lebih awal pada 1 Jun hingga 14 Jun manakala fizikal pada 3 Jun hingga 12 Jun ini. Di samping itu, PBAKL 2022 akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti antara yang utama ada lapan keterujaan iaitu Pesta buku hybrid (PBAKL fizikal dan talian); Kumpulan Penerbit Akademik terbesar yang melibatkan Perkumpulan PenerbitPenerbit Universiti: Mandiri (di) PBAKL iaitu seksyen untuk penulis, illustrator, pembikin zine dan buku foto swaterbit. Mandiri ini kita berikan ruang kepada pempamer terkenal untuk menjual koleksi buku mereka. Selain itu, sepanjang 10 hari PBAKL 2022 diadakan, pentas utama akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti seperti persembahan dan bicara buku oleh tokoh ilmuan negara. Keterujaan lain adalah TV pusat sumber sekolah Malaysia; Gudang Jualan berbaloi; aktiviti karyawan bersama pembaca dan laman lantai seni iaitu baca dan lagu puisi dengan menampilkan barisan pemuisi terkenal seperti Sabri Yunus, Tan Sri Johan Jaafar; sembang seni serta banyak lagi aktiviti menarik.

PENGANJURAN Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 akan berlangsung di Putra World Centre (WTC) pada 3 Jun hingga 12 Jun ini bagi merancakkan kembali industri perbukuan negara.

WILAYAHKU: Selepas dua tahun tidak dianjurkan secara fizikal, apakah reaksi yang diterima MBKM daripada pempamer dan orang ramai ?
MOHD KHAIR: Dua tahun PKP, PBAKL hanya diadakan secara online tetapi apabila dapat melaksanakan secara fizikal, ia sememangnya memberi peluang atau nafas baharu kepada pemain industri buku untuk meneroka semula bidang yang kurang arif iaitu jualan dalam talian. Saya menganggap ia sebagai ‘banyak jalan ke syurga’ bermaksud sungguhpun kita tidak boleh menjual secara fizikal tempoh lalu tidak bermakna kita tidak boleh menjual online. Untuk pengetahuan, ini juga adalah pertama kali MBKM memberi harga sewa rendah kepada pempamer iaitu bernilai RM3,500 selama 10 hari. Harganya sangat berbeza dengan tahuntahun sebelumnya kerana kita faham keadaan ekonomi masa kini masih tidak stabil dan matlamat kita bukan untuk mengaut keuntungan tetapi bersama-sama membangunkan industri buku.

WILAYAHKU: Dari segi statistik penyertaan pengunjung, PBAKL 2022 yang manakah mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai sama ada secara fizikal atau atas talian (online) ?
MOHD KHAIR: Jika mengikut statistik, pengunjung lebih tertarik untuk membeli buku secara fizikal berbanding online kerana rata-rata mereka masih mahu melihat sendiri buku-buku yang hendak dibeli. Apatah lagi, apabila promosi atau voucher buku diberikan kepada pengunjung. Sebagai contoh, akhir tahun lepas, negeri Selangor mengadakan pesta buku secara fizikal, jualannya sangat bagus kerana pelajar-pelajar dapat membeli buku menggunakan voucher tetapi apabila voucher
buku tidak diberikan, jualan agak rendah. Saya yakin dan percaya, kebanyakkan pengunjung yang datang adalah orang yang membeli dan kita mempunyai  ‘quality buyer’.

WILAYAHKU: Bagaimana PBAKL 2022 dapat memberi impak kepada masa hadapan budaya membaca di Malaysia?
MOHD KHAIR: Penganjuran PBAKL amat signifikan kepada pembinaan negara bangsa untuk memperkukuh budaya membaca serta ia juga menjadi penggalak ketekalan ilmu dengan memperkasakan strategi infrastruktur industri buku di samping melahirkan generasi minat membaca sepanjang hayat. Melalui PBAKL juga, banyak peluang disediakan terutama kepada pemain industri kerana pesta buku bukanlah sekadar platform berjual beli bahan bacaan tetapi ia merupakan platform
profesional bersifat interaktif. Platform inilah yang menemukan buku, industri buku dan pengguna sekali gus menerapkan matlamat sama iaitu  menjadikan buku sebagai satu keperluan, simbol pendidikan dan budaya negara.

WILAYAHKU: Apakah harapan MBKM terhadap PBAKL 2022 ?
MOHD KHAIR: PBAKL merupakan satu-satunya pesta buku bertaraf dunia yang telah menjadi program tahunan di negara kita. Oleh itu, MBKM berharap program ini dapat memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia dan saya juga mengharapkan pesta buku kali ini akan dikunjungi oleh orang ramai termasuk pelancong asing kerana keseronokan serta kegembiraan pengunjung yang datang jelas menunjukkan bahawa PBAKL mampu melahirkan generasi membaca dan intelektual serta membolehkan mereka berhubung dan berinteraksi secara langsung dengan pengarang atau penulis buku. Bagi saya, tidak kira apa
jua platform yang digunakan untuk membaca sama ada buku atau online, perkara itu sudah cukup baik. Dengan membaca, ia dapat menggalakkan seseorang individu berfikiran luas dan berpengetahuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas