Berita

‘Menemui Semula’ warnai pelancongan negara

AINA Abdul (kiri) mewarnai industri pelancongan negara dengan alunan suara merdunya dalam lagu ‘menemui semula’.
- Diterbit 28 Mei 2022 6:00 AM MYT

JIKA sebelum ini, lagu CutiCuti Malaysia versi pertama didendangkan oleh penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin pada tahun 2012, tetapi di tahun 2022, ia telah diberi nafas baharu dengan muzik berbeza serta tajuk yang selaras peralihan ke fasa endemik iaitu ‘Menemui semula’.

Lagu ciptaan penulis lirik, James Boyle dan Kompser Ananth Kumar ini merupakan salah satu usaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi
Tourism Malaysia untuk memperkasa dan mewarnai kembali sektor pelancongan negara yang telah suram dua tahun susulan pandemik COVID-19.

Justeru itu, pada 17 Mei lalu, Tourism Malaysia turut melancarkan lagu Kempen Cuti-Cuti Malaysia versi kedua bertajuk ‘Menemui Semula’ pada Majlis Pelancaran Lagu dan Pelan Pemulihan Pelancongan 2022.

Lebih menarik, lagu bergenrekan pop etnik dengan kombinasi aliran world music, hip hop dan electronic dance music (EDM) dinyanyikan oleh penyanyi popular yang kian melonjak naik iaitu Aina Abdul.

Bukan itu sahaja, ‘Menemui Semula’ turut menggabungkan alunan muzik tradisional seperti seruling, gamelan, erhu, kompang dan gendang serta ia dipenuhi dengan mesej tersurat iaitu bersama-sama meneroka pengalaman melancong di dalam negara bagi menikmati khazanah alam semula jadi bersama keluarga tersayang.

Dalam pada itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Sri Nancy Shukri juga berkesempatan mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pembikin lagu ini kerana telah menghasilkan lagu pelancongan menarik.

Jika anda ingin menonton video muzik lagu ‘Menemui Semula’ boleh melayari laman Youtube Malaysia Truly Asia di

https://www.youtube.com/ watchv=SYB427zH7Tk. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas