Berita

Masa tepat pelabur antarabangsa melabur di Malaysia – Anwar

- Diterbit 22 April 2024 2:32 PM MYT

PELABUR-PELABUR antarabangsa mengiktiraf bahawa kini adalah masa yang tepat untuk melakukan pelaburan di Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata antara faktor keyakinan itu adalah kerajaan yang stabil dan tadbir urus yang baik; sifat pro-perdagangan dan pendirian neutral oleh rakyat Malaysia memenuhi permintaan rakan dagangan pada masa ini.

“Pengumuman hari ini dibuat berikutan pelaburan asing yang diluluskan berjumlah RM188 bilion.

“Ia jelas mencerminkan pergerakan dalam aktiviti rantaian nilai yang lebih tinggi kerana dunia menunjukkan keyakinan terhadap apa yang tenaga kerja kita mampu lakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian sempena Sidang Kemuncak KL20 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Tambah Anwar, KL20 dirangka dengan minda bagi mengalu-alukan pelaburan berkualiti dan bernilai tinggi dari segenap pelusuk dunia selain menumpukan pada usahawan tempatan bagi merebut peluang ke peringkat global.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan Khazanah Nasional akan melancarkan ‘National Fund-of Funds’ dengan peruntukan awal RM1 bilion untuk melabur dalam syarikat Malaysia berpertumbuhan tinggi yang inovatif.

Menurut Anwar, dalam pengumuman Belanjawan Malaysia MADANI 2024 pada Oktober lalu, beliau menggariskan komitmen kerajaan untuk membantu syarikat Malaysia membabitkan usahawan Bumiputera, syarikat baharu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk terus meningkat.

“Kerajaan juga menyasarkan untuk memusatkan agensi pelaburan seperti Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP) dan Penjana Kapital di bawah Khazanah.

“Dalam hal ini, saya berbesar hati untuk berkongsi bahawa Khazanah Nasional akan melancarkan “National Fund-ofFunds” dengan peruntukan awal RM1 bilion untuk melabur dalam syarikat Malaysia berpertumbuhan tinggi yang inovatif,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas