Berita

Pasukan khas ditubuh siasat individu terkait Pandora Papers – Azalina

Gambar hiasan
- Diterbit 26 Mac 2024 11:40 AM MYT

SEBUAH pasukan khas telah ditubuhkan untuk menyiasat individu yang tersenarai di dalam Pandora Papers yang didedahkan oleh International Consortium of Investigation Journalist (ICIJ).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pasukan khas tersebut dikoordinasikan oleh Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) merangkumi beberapa agensi penguatkasaan.

“Antara agensi terlibat adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), SPRM, Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Labuan Financial Services Authority (FSA) yang bertujuan untuk menganalisis identiti yang tersenarai dalam pendedahan Pandora Papers.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan lisan yang dikemukakan oleh Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang meminta kerajaan menyatakan menyatakan apakah status siasatan terhadap pemimpin negara dan individu yang disenaraikan dalam siasatan Kertas Pandora setakat ini.

Jelas Azalina SPRM bertindak secara profesional mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan dan bebas menjalankan siasatan tanpa sebarang campur tangan atau pengaruh daripada pihak luar.
“Kesemua senarai nama yang dinyatakan di dalam Pandora Papers sedang dalam siasatan SPRM dimana terdapat juga siasatan yang tidak diketahui umum, walau bagaimanapun SPRM tidak dapat mendedahkan butiran siasatan tersebut selaras dengan subseksyen 29(4) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia [Akta 694] yang menyatakan bahawa mana-mana siasatan tersebut hendaklah dirahsiakan dan tidak boleh didedahkan oleh mana-mana orang sehingga orang tertuduh tersebut dipertuduh di mahkamah,” katanya.

Tambah Azalina, setakat ini SPRM telah menuduh seorang individu berkaitan kes Pandora Papers di mahkamah atas kesalahan di bawah seksyen 36 Akta SPRM 2009 [Akta 694]. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas