Berita

Kerajaan beri tumpuan latihan STEM, tingkatkan pelaburan negara

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 26 Mac 2024 12:05 PM MYT

KERAJAAN akan terus memberi tumpuan kepada latihan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) terutama di peringkat tertinggi untuk memastikan pengukuhan serta peningkatan pelaburan asing ke negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kelemahan negara ketika ini adalah latihan dalam pendidikan matematik, sains, kejuruteraan, kecerdasan buatan (AI) dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tertinggi.

“Kita mampu melakukan kalau kita memberi tumpuan dan peruntukan tambahan sepenuhnya (terhadap latihan dalam bidang STEM),” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang antaranya ingin tahu langkah kerajaan untuk memastikan momentum pelaburan yang diperoleh tahun lepas iaitu sebanyak RM329.5 bilion terus meningkat pada tahun yang mendatang.

Sementara itu Anwar yang juga Menteri Kewangan mengakui bahawa minat golongan pelajar dalam STEM juga merosot dan perkara itu amat membimbangkan.

Bagaimanapun Anwar berkata Kementerian Pendidikan serta beberapa kumpulan pendidikan lain telah mengambil pelbagai langkah untuk menggesa ibu bapa supaya menggalakkan anak-anak mereka menceburi pendidikan STEM di peringkat sekolah menengah.

“Ini sedang diusahakan secara lebih serius lagi,” kata Perdana Menteri.

Anwar berkata selain itu dalam semua perjumpaannya dengan syarikat asing yang berhasrat melabur di Malaysia, beliau sentiasa menekankan kepentingan kewujudan pusat kecemerlangan berkaitan syarikat itu di negara ini bagi menyediakan latihan kemahiran kepada golongan profesional serta pelajar tempatan.

“Mesti ada latihan di sini kerana kita sekarang memang kekurangan jurutera. Jurutera yang kita lahirkan walaupun baik dan diterima baik, masih dianggap ada kekurangan di peringkat yang tertinggi, (dari segi) kemahiran atau ketrampilan peringkat tertinggi.

“Jadi ada jurang tentang niche (bidang) yang diperlukan. Oleh itu penumpuan kepada TVET dan kejuruteraan ini (perlu) diberikan (perhatian)…  kalau Malaysia tidak lakukan apa-apa yang segera, yang mendesak, kita akan kerugian.

“Ini kerana tumpuan sekarang bukan lagi low-end industry tetapi high-end industry yang memerlukan kecekapan yang lebih tinggi daripada yang ada sekarang,” kata Perdana Menteri.

Katanya beliau telah meminta pihak universiti mengadakan Fakulti AI (kecerdasan buatan), dimulakan dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang harus menyelaras kegiatan mereka dengan semua universiti yang menjalankan AI bagi memenuhi sebahagian keperluan dalam bidang itu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas