Pasangan kekasih dihukum gantung, bunuh kanak-kanak lima tahun
PASANGAN kekasih dihukum gantung, bunuh kanak-kanak lima tahun

Pasangan kekasih dihukum gantung, bunuh kanak-kanak lima tahun

MAHKAMAH Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap pasangan kekasih selepas didapati bersalah membunuh seorang kanak-kanak lelaki yang juga anak kepada tertuduh wanita, enam tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menjatuhkan hukuman tersebut terhadap R Saravanan Kumar, 30, and T Gayathry, 36, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Dalam penghakimannya, Ahmad Shahrir berkata, mahkamah tidak boleh menerima alibi tertuduh pertama, Saravanan Kumar bahawa tertuduh tidak berada di lokasi kejadian memandangkan tidak ada kenyataan bertulis daripada saksi.

Beliau turut mendapati tertuduh kedua, Gayathry yang juga ibu kepada mangsa tidak bertindak seperti sepatutnya seorang ibu, ketika berdepan dengan situasi yang anaknya dibunuh.

“Kamu (tertuduh kedua) telah ditinggal di rumah seorang diri selama empat jam selepas tertuduh pertama membawa mayat mangsa keluar dari rumah tetapi kamu tidak meminta sebarang bantuan dalam tempoh itu,” katanya.

Katanya, Gayathry sanggup mencuci tandas yang berlumuran darah selepas menyaksikan anak kandung sendiri dibunuh.

“Apa yang dilakukan oleh tertuduh kedua adalah tidak munasabah,” katanya.

Pada 13 Oktober 2014, pasangan kekasih itu didakwa di Mahkamah Sesyen Bukit Mertajam dekat sini atas kesalahan membunuh S Kaviarasan yang ketika itu berumur lima tahun.

Pasangan tersebut didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Keladi, Kulim, Kedah antara pukul 8 pagi pada 20 September dan 4 petang, 27 September 2014.

Mayat Kaviarasan yang dicampak di kawasan semak di ladang sawit berhampiran Permatang Tinggi, Bukit Tengah, Butterworth ditemukan pihak polis pada 29 September 2014.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yasinnisa Begam Seeni Mohideen manakala tertuduh pertama diwakili peguam V Parthipan dan tertuduh kedua diwakili Gabriel Susayan.

CATEGORIES