Berita

Vietnam, Malaysia setuju tingkatkan perdagangan selepas COVID-19

- Diterbit 24 September 2020 7:36 AM MYT

PEJABAT Dagangan Vietnam di Malaysia dan Persatuan Perniagaan Vietnam Malaysia (VMBIZ) pada 23 September telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai merangsang kerjasama perdagangan dan pelaburan perniagaan antara kedua-dua negara.

Bercakap pada majlis menandatangani perjanjian itu, Kaunselor Komersial Vietnam di Malaysia Pham Quoc Anh berkata dagangan tahunan antara kedua-dua negara merosot 15 peratus dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini disebabkan pandemik COVID-19, lapor agensi berita Vietnam.

Menerusi MoU tersebut, pejabat kaunselor berkenaan berharap dapat membantu VMBIZ meningkatkan keupayaannya dan mengembangkan hubungan antara persatuan perniagaan dan usahawan Vietnam dan Malaysia, katanya.

Pengerusi VMBIZ Ngo Sy Tuyen berharap agar pejabat kaunselor dapat menyediakan maklumat mengenai permintaan untuk eksport-import syarikat dari kedua-dua negara itu. VMBIZ berikrar untuk membantu pejabat kaunselor menjalankan aktiviti promosi perdagangan, mencari rakan kongsi, dan membangunkan pasaran.

Duta Besar Vietnam ke Malaysia Le Quy Quynh, menyarankan kedua-dua pihak segera mewujudkan unit khusus untuk menyelaraskan aktiviti bersama, termasuk membawa barangan Vietnam ke Malaysia dan berkongsi pengalaman dengan persatuan dan perniagaan Malaysia.

Selepas majlis menandatangani perjanjian tersebut, sejumlah syarikat Vietnam dan Malaysia juga mengadakan pertemuan perniagaan untuk mencari peluang kerjasama. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas