Berita

Menteri Wilayah Persekutuan jalani kuarantin 

MENTERI Wilayah Persekutuan,Tan Sri TPr Annuar Musa.
- Diterbit 24 September 2020 1:55 PM MYT

MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa menjalani kuarantin bagi pengawasan dan pemerhatian kontak jangkitan COVID 19, dari Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu bermula Khamis.

Dalam satu kenyataan media malam ini, Annuar berkata, beliau menjalani kuarantin berikutan kontak dekat beliau dengan ahli MKT UMNO, Datuk Razlan Rafii yang disahkan positif COVID-19.

“Dengan perintah ini, saya dikehendaki menjalani kurantin di kediaman di Kota Kinabalu bagi tempoh tertentu.

“Untuk makluman, dua hari lepas saya telah jalani ujian RT-PCR COVID-19 di HKL (Hospital Kuala Lumpur) dan disahkan negatif.

“Hari ini saya jalani satu lagi ujian yang dilakukan Jabatan Kesihatan Kota Kinabalu dan keputusan dijangka diperoleh sehari dua lagi,” ujarnya.

Berikutan itu, Annuar yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) dan Penyelaras Pilihanraya Negeri BN Sabah membatalkan semua jadual kempen beliau termasuk ceramah bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya akan terus bertugas dari kediaman saya serta akan berkomunikasi dengan semua peringkat jentera seperti biasa.

“Saya mohon maaf atas sebarang kesulitan berbangkit. Saya menyeru agar semua jentera BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus berjuang habis-habisan dalam tempoh 48 jam terakhir ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas