Berita

Paip pecah, IPD Kemaman dilimpahi air

- Diterbit 20 Januari 2021 6:42 AM MYT

BANGUNAN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman dilimpahi air dan lumpur pada paras buku lali malam tadi, selepas paip air di tempat letak kenderaan yang berhadapan dengan IPD tersebut pecah.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11 malam itu turut menyebabkan dua kereta milik anggota polis terjerlus ke dalam lubang yang disebabkan mendapan tanah.

“Paip pecah itu menyebabkan mendapan tanah dan terbentuknya satu lubang besar seluas tiga meter. Dua buah kereta anggota yang diletakkan di situ telah terjerlus ke dalam lubang terbabit yang dipenuhi air dan lumpur,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hanyan berkata kejadian paip pecah itu telah menyebabkan laluan di hadapan IPD menghala ke Air Putih kini ditutup sementara waktu berikutan kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan oleh Syarikat Air Terengganu (SATU). – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas