Berita

Tukar jual burger kepada bubur, ayam goreng sebab PKP

- Diterbit 20 Januari 2021 6:39 AM MYT

PELAKSANAAN semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang mengehadkan waktu perniagaan sehingga pukul 8 malam baru-baru ini, memberi ilham kepada sekumpulan pemuda untuk menjadi lebih kreatif dengan meneroka perniagaan makanan baharu.

Jika sebelum ini, perniagaan Skuad Muafakat 4ALL (SM4ALL) hanya bertumpukan penjualan burger pada waktu malam, namun disebabkan PKP kali ini, mereka beralih kepada penjualan menu sarapan pagi dan tengah hari.

Pengasasnya, Wahyu Hidayat Jaapar, 39, berkata, sejak 14 Jan lepas, mereka telah mula menjual ‘Bubur Ayam Sambal Ketuk’ dan ‘Ayam Goreng Kroyok’ di gerai perniagaan mereka di Taman Bistari, Tongkang Pechah, di sini.

Bercakap kepada Bernama, Wahyu berkata sambutan agak menggalakkan dengan jualan hampir 100 bekas bubur dan lebih 200 ketul ayam goreng pelbagai saiz laris setiap hari.

Katanya, menerusi setiap pembelian bubur dan ayam goreng itu, sebanyak 20 sen akan disumbangkan kepada Unit Amal Van Jenazah yang diuruskan secara percuma bagi kegunaan masyarakat Batu Pahat dan kawasan sekitar.

“Sebelum ini SM4ALL menjual pelbagai burger dengan nama ‘Burger Muafakat’. Kami beroperasi bermula pukul 7.30 malam sehingga 12.00 tengah malam.

“Bagaimanapun akibat PKP baru, kami tidak dapat berniaga seperti sedia ada kerana pihak berkuasa mengeluarkan arahan setiap perniagaan termasuklah berasaskan makanan perlu ditutup pada pukul 8 malam.

“Disebabkan itu, saya dan rakan niaga, Noor Azham Md Salleh terfikir tentang menu makanan untuk jualan pada siang hari sebelum memutuskan menjual bubur dan ayam goreng menggunakan resepi turun temurun keluarga Nor Azham sendiri,” katanya.

Tambah Wahyu, beliau percaya pelaksanaan semula PKP dan pengisytiharan Proklamasi Darurat itu dilaksanakan demi kebaikan rakyat memandangkan jumlah kes COVID-19 terus meningkat di negara ini.

“Sebagai rakyat, kita perlu akur dengan arahan berkenaan namun dalam masa sama, kita perlu kreatif dan memikirkan alternatif untuk meneruskan kelangsungan hidup sepanjang tempoh PKP ini.

“Saya juga berfikir untuk kembali membuka gerai jualan burger lebih awal pada sekitar 5 petang, sesuai dengan masa operasi perniagaan sewaktu PKP,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas