Berita

Orang ramai dilarang buat kutipan awam secara tidak sah

MANA-MANA individu atau NGO tidak dibenarkan mengutip derma secara tidak sah. Gambar hiasan
- Diterbit 6 April 2020 2:28 PM MYT

LABUAN – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan mengingatkan individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya tidak membuat kutipan derma  awam secara tidak sah dalam membantu pihak terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 2.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya melarang keras sebarang kutipan derma awam tanpa permit seperti dalam peruntukan undang-undang.

“Sekiranya ada pihak yang didapati menjalankan kutipan awam tanpa permit sah, ia akan dikenakan tindakan di bawah Akta Pungutan Derma Rumah ke Rumah dan Jalan 1947

“Jika disabitkan kesalahan akan dikenakan denda tidak lebih dari RM1,000 atau penjara boleh sampai 6 bulan atau kedua- duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Muhamad Farid turut mengingatkan orang ramai agar mematuhi arahan PKP Fasa 2 yang berkuatkuasa 1 April lalu dan pihaknya tidak akan berkompromi dengan individu atau mana-mana NGO yang ingkar dengan peraturan ini.

“Sebarang bentuk bantuan yang disalurkan hendaklah melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana ( PKOB ) di talian 087- 425 600 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat ( JKM ) di talian 087- 408 601 , 087- 408 603 atau 087- 408 758. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas