Berita

Nama keluarga amat penting untuk terus dipertahankan – Najib

- Diterbit 19 Disember 2020 10:18 AM MYT

PESAN bonda, nama keluarga amat penting untuk terus dipertahankan, kata Datuk Seri Mohd Najib Tun Abduk Razak.

Beliau yang juga bekas Perdana Menteri keenam menyifatkan, Allahyarhamah Tun Rahah Mohamad Noah sebagai tonggak keluarga selepas kematian bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak.

Menceritakan peribadi Tun Rahah, ujar beliau, bondanya telah melalui kehidupan selama 87 tahun dan merupakan seorang yang cukup penyayang serta baik hati.

“Beliau telah mendidik kami semua dengan sempurna sehingga kesemua anaknya mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing.

“Beliau juga menyaksikan anak-anaknya membesar dan sedikit sebanyak telah menyaksikan serta berpuas hati dengan apa yang kami lakukan.

“Bonda adalah tumpuan kami dan amat sukar kehilangan seorang ibu. Pastinya kami semua amat sedih dengan ketentuan Ilahi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengebumian Negara di Masjid Negara di sini hari ini.

Najib memberitahu, sebelum ini Allahyarhamah Tun Rahah sering mengingatkan beliau untuk menjalankan kerja dengan sebaik-baiknya dan penuh berdedikasi.

“Pada bonda, nama baik keluarga mesti terus dipertahankan walaupun dalam politik memang tidak dapat elak dari mendapat kecaman,” katanya yang yakin kebenaran akan muncul.

Ujar beliau, banyak memori indah dan manis yang diingati terutama apabila mula menceburkan diri dalam bidang politik pada umur sebelum 23 tahun.

“Bonda beri sokongan dan serah kepada saya mengenai keputusan untuk menceburi bidang politik. Beliau akan memberi segala bantuan moral kepada saya dengan penuh kasih sayang supaya saya berjaya dalam bidang politik,” ujarnya.

Dalam pada itu, Najib turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan di atas keputusan menganugerahkan pengebumian negara kepada Allahyarhamah Tun Rahah.

“Tentu ia satu penghormatan teristimewa dan saya percaya ia akan menjadi kenangan manis kepada keluarga Tun Abdul Razak.

“Insha-Allah, keluarga akan buat tahlil selama seminggu dan orang ramai dipersilakan hadir, ” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas