Berita

80 kanak-kanak sertai Khatan Perdana

SALAH seorang dari 80 peserta program, sedang menjalani proses berkhatan di Dewan Kompleks Warga Kota, Desa Pandan. - AMIN FARIJ HASAN
- Diterbit 19 Disember 2020 12:38 PM MYT

SUDAH menjadi tradisi, musim cuti akhir tahun pasti akan dimanfaatkan ibu bapa dengan melangsungkan majlis untuk anak-anak termasuk upacara berkhatan beramai-ramai bagi meredakan ketakutan si kecil.

Menyedari keperluan amalan itu suatu kewajipan dalam Islam, Majlis Pewakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP ) Zon Titiwangsa, Kuala Lumpur dengan Pertubuhan Kebajikan Islam (Perkim) menganjurkan Program Khatan Perdana yang disertai 80 kanak-kanak.

Pengerusi MPPWP Zon Titiwangsa, Datuk Azizul Rahman berkata, inisiatif itu sebahagian usaha menyantuni penduduk dengan penyediaan kemudahan berkhatan pada harga minimum iaitu RM40 berbanding kos dikenakan RM140 di  klinik-klinik komersil bagi setiap kanak-kanak.

Beliau berkata, pendekatan yang dilaksanakan itu secara langsung meringankan perbelanjaan perlu ditanggung setiap keluarga terlibat yang mungkin kini berdepan kekangan kewangan berpunca dari penularan pandemik COVID-19.

PROGRAM berkhatan dilakukan mengikut SOP. – AMIN FARIJ HASAN

“Alhamdulilah hasil sumbangan daripada Perkim sendiri, setiap keluarga hanya membayar RM40 sahaja dan betul-betul memberikan impak untuk mereka berasa lebih ringan membayarnya.

“Permintaan untuk menyertai program ini mencecah 300 orang. Namun, disebabkan SOP (prosedur operasi standard) perlu dipatuhi, atas nasihat Kementerian Kesihatan hanya 80 peserta sahaja dipilih,” katanya selepas melawat peserta Program Khatan Perdana di Dewan Kompleks Warga Kota, Desa Pandan.

Turut hadir, Penasihat MPP Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abd Ghani; Timbalan Pengerusi MPP Zon Titiwangsa, Khairul Anuar Manap dan Pengerusi Perkim Zon Keramat, Suhaimi Abd Aziz.

Terdahulu, acara berkhatan yang bermula seawal 10 pagi itu dilakukan mengikut beberapa sesi.

Sementara itu, Johari menyatakan, impak positif masyarakat untuk program ini memungkinkan ia dijadikan acara tahunan di Parlimen Titiwangsa.

“Dengan penerimaan baik warga setempat bagi program berkebajikan sebegini, Insha-Allah akan kita jadikan acara tahunan,” katanya yang turut menyampaikan cerderahati daripada Yayasan Bena kepada semua peserta terlibat. – WILAYAHKU

SALAH seorang peserta Program Khatan Perdana bermain permainan video di telefon bimbit bagi menghilangkan rasa takut ketika berkhatan. – AMIN FARIJ HASAN
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas